Mudahnya kau lupa pada janji


Setiap kali tiba musim pilihan raya, maka calon-calon yang bertanding pun melontarkan janji-janji mereka kepada pengundi.

Macam-macam janji yang ditabur seperti membina dewan orang ramai, melebarkan jalan dan yang paling popular, menurunkan harga minyak.

Mujurlah setakat ini belum ada calon yang berani menjanjikan bulan dan bintang.

Pada hari pilihan raya, pengundi pun membuat pilihan mengikut janji-janji yang ditabur.

Mereka lazimnya memilih calon yang difikirkan memberi tawaran terbaik meskipun secara logiknya sukar untuk dilaksanakan. Contohnya, menurunkan harga minyak.




Cuma agak menyedihkan apabila janji-janji yang ditabur semasa kempen pilihan raya tidak ditunaikan.

Macam-macam alasan diberikan apabila calon-calon yang menang ditanya bila mahu menunaikan segala janji manis bermadu mereka.

Mengapa mudah sangat berjanji jika tahu tidak ada kemampuan untuk menunaikannya?

Yang mengundi pun satu hal. Mereka begitu mudah terpesona dengan kata-kata indah yang hakikatnya kosong tak berisi.

Kononnya mahu perubahan walaupun penyandang kerusi sedia ada terbukti mampu berkhidmat dengan baik.

Kuasa memilih sebenarnya di tangan pengundi. Kalau masih lagi memilih mereka yang mungkir janji, memang salah sendirilah.

Catat Ulasan

0 Ulasan