Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin diminta berehat daripada tugasnya bagi memberi ruang menyelesaikan isu peribadi melibatkan bekas isterinya.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Shahrul Nasrun menumpukan perhatian terhadap urusan peribadi yang sedang dihadapinya.
“Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin sudah diminta untuk berehat daripada jawatannya sebagai Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN),” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, media sosial kecoh susulan pendedahan yang dibuat bekas isterinya, Datin Amyera menerusi laman Instagram hingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna platform tersebut.
Mengulas perkara itu, Shahrul Nasrun melalui hantaran Instagram semalam menjelaskan beliau tidak berhasrat membuka ruang kepada sebarang perdebatan atau pertikaian terbuka di media awam mengenai kehidupan peribadinya.
“Perkahwinan saya terdahulu telah berakhir secara sah dan rasmi pada 30 Julai 2024 melalui proses sah mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau turut melahirkan kekesalan apabila perkara peribadi yang sepatutnya kekal tertutup kini dijadikan bahan perbualan umum yang boleh menjejaskan maruah banyak pihak termasuk dirinya, keluarga dan tunangnya yang tidak terlibat sama sekali.

0 Ulasan