Parti Warisan menyifatkan perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai bukti terbaharu bahawa kerajaan Persekutuan terus mengabaikan hak Sabah dan Sarawak.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, umum mengetahui kedua-dua negeri itu merupakan pengeluar utama minyak dan gas negara dengan kemudahan gas asli cecair (LNG) bertaraf dunia di Kimanis dan Bintulu yang telah menjamin keselamatan tenaga Malaysia selama berdekad-dekad.
Namun katanya, keputusan Putrajaya untuk membeli gas dari AS dianggap tidak masuk akal dan seolah-olah menafikan sumbangan besar Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi nadi kemakmuran negara.
“Langkah ini akan mencipta peluang pekerjaan dan keuntungan di luar negara, bukan di tanah air.
"Ia menguntungkan industri AS, sedangkan rakyat Sabah dan Sarawak kehilangan peluang pekerjaan, kontrak serta pelaburan hiliran yang sepatutnya terhasil melalui peningkatan pengeluaran dan pemprosesan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan mengimport LNG dan arang batu dari AS bukan sahaja melemahkan daya tahan tenaga negara, malah mengurangkan peranan strategik Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
“Langkah ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan Malaysia Timur, tetapi turut mengancam kedaulatan jangka panjang negara terhadap sumbernya sendiri,” katanya.
Jelas Mohd. Azis, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada tanggungjawab dalam negeri sebelum menandatangani komitmen perdagangan antarabangsa, termasuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memulangkan 40 peratus hasil kepada Sabah.
Katanya lagi, Sabah dan Sarawak perlu diberi kuasa mengurus sumber sendiri secara telus dan adil, manakala pelaburan wajar disalurkan kepada industri serta tenaga kerja tempatan, bukannya memperkayakan pembekal asing.
“Selagi Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan komitmen perlembagaan terhadap Sabah dan Sarawak, tiada perjanjian perdagangan yang boleh dianggap sebagai kemajuan. Ia hanya membuktikan bahawa keutamaan Putrajaya masih tersasar dan terpisah daripada hak serta realiti rakyat Malaysia Timur,” katanya.

0 Ulasan