Perjanjian perdagangan Malaysia-AS ketepi hak Terengganu - PAS

PAS Terengganu menyifatkan perjanjian timbal balik perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai tindakan yang mengetepikan hak negeri-negeri pengeluar, termasuk Terengganu yang mempunyai deposit unsur nadir bumi (REE) terbesar di negara ini.

Ketua Penerangannya, Mohd. Harun Esa berkata, langkah Kerajaan Persekutuan itu dilihat sebagai pencabulan terhadap hak negeri kerana dilakukan tanpa sebarang rundingan atau makluman rasmi.

Beliau mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah mengakui di Parlimen bahawa REE berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

“Malah, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut menyatakan sebarang dasar dan pengagihan hasil REE akan diputuskan secara inklusif melalui Majlis Mineral Negara (MMN) sebagai platform rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pengeluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Harun, Kerajaan Persekutuan pada 19 Ogos lalu juga menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan pengeksportan mentah REE sebagai timbal balas dalam rundingan tarif perdagangan dan tidak memberi komitmen membekalkan REE secara eksklusif kepada mana-mana negara, termasuk Amerika Syarikat.

“Namun, kandungan perjanjian yang kini dimeterai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden AS, Donald Trump bercanggah sepenuhnya dengan kenyataan Menteri sendiri. 

"Malaysia telah memberi komitmen untuk tidak mengenakan sekatan eksport kepada syarikat-syarikat AS, sedangkan perkara ini tidak pernah dirunding bersama kerajaan negeri Terengganu,” katanya.

Tambah beliau, tindakan tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap semangat federalisme dan prinsip keadilan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Dahulu hasil minyak Terengganu dinafikan, kini hasil nadir bumi pula digadai tanpa suara negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Harun menuntut penjelasan segera daripada Perdana Menteri sama ada Majlis Mineral Negara telah bersidang sebelum perjanjian itu ditandatangani serta jika kerajaan negeri Terengganu dimaklumkan atau diberi ruang menyatakan pendirian.

“Jika tidak, maka tindakan ini bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap semangat Persekutuan, malah satu bentuk pencabulan terhadap kedaulatan negeri dan hak rakyat Terengganu,” katanya.

Tegas beliau, REE bukan milik Putrajaya, tetapi milik rakyat dan kerajaan negeri Terengganu yang sah di sisi Perlembagaan, justeru Kerajaan Persekutuan tidak berhak membuat sebarang komitmen antarabangsa melibatkan hasil bumi negeri tanpa persetujuan rasmi kerajaan negeri.

BACA LAGI 







Catat Ulasan

0 Ulasan