Hubungan Bersatu-Pas semakin rapuh?

 

Hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa semakin rapuh dan berpecah apabila kedua-dua parti itu dilihat sedang bersaing untuk merebut pengaruh menjelang pilihan raya akan datang.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr. Zuhan Zain berkata, kedua-dua parti berkenaan perlu berhenti mempermainkan persepsi rakyat dengan berpura-pura seolah-olah masih bersatu padu dalam gabungan tersebut.

“Kedua-dua parti ini perlu berhenti mempermainkan persepsi rakyat dengan berpura-pura seolah-olah mereka masih bersatu padu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hubungan antara Bersatu dan PAS, termasuk di peringkat negeri, semakin longgar selepas beberapa isu dalaman melanda PN.

Katanya, kerjasama kedua-dua parti kini kerap dipenuhi kenyataan bercanggah dan pertikaian terbuka antara pimpinan masing-masing.

“Apa kesudahan hubungan antara Bersatu dan PAS di Johor? Kedua-dua parti yang kononnya berpadu di bawah gabungan PN kini kelihatan tidak lagi sehaluan,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Johor berhak mengetahui pendirian sebenar Bersatu negeri itu terhadap krisis kepimpinan dan hala tuju perjuangan parti yang dilihat semakin kabur antara kepentingan peribadi dan perjuangan rakyat.

“Namun apa yang lebih mengecewakan adalah Bersatu Johor yang kekal membisu dan tidak menunjukkan sebarang pendirian rasmi dalam menghadapi kemelut ini. 

"Sikap berdiam diri Bersatu Johor bukan sahaja mencerminkan kelemahan kepimpinan negeri tersebut, malah menimbulkan persoalan sama ada mereka masih mempunyai hala tuju politik yang jelas untuk rakyat Johor,” katanya.

Zuhan menegaskan, rakyat tidak akan mempercayai parti yang gagal menyelesaikan krisis dalaman sendiri tetapi masih mahu tampil sebagai alternatif kepada kerajaan.

Katanya, Johor memerlukan kepimpinan yang stabil, berprinsip dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukannya sekadar retorik politik atau sandiwara perebutan kuasa.

Jumaat lalu, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu masih layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut menjelaskan bahawa Muhyiddin mempunyai rekod luas dalam pentadbiran negara termasuk menerajui 11 kementerian serta pernah menjadi Menteri Besar Johor.







Catat Ulasan

0 Ulasan