Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas pelantikannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diumumkan pada Januari lalu ditamatkan.
Dalam kenyataan hari ini, Khaliq Mehtab menegaskan beliau berhak menyuarakan pandangan dalam semangat demokrasi parti, termasuk pandangan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan.
“Sambil menghormati keputusan itu, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti tersebut,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pelan peralihan kepimpinan Bersatu dilaksanakan dengan segera dan berhemah bagi memastikan kelangsungan serta perpaduan dalam parti.
“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khaliq Mehtab berkata, pelantikan ke jawatan MPT selepas ini perlu dibuat berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan prinsip perjuangan, bukan sekadar melahirkan barisan “Yes Man.”
Tegas beliau, parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan serta keberanian untuk menyatakan kebenaran.
Tindakan Khaliq Mehtab itu sekali gus menambah kepada kemelut dalaman Bersatu yang semakin meruncing selepas Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan terhadap enam pemimpin akar umbi baru-baru ini.
Antara mereka termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat keahlian, serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian selama satu penggal.
Tindakan tersebut diambil berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 
 
 
 
 
 
 
0 Ulasan