Kaum Cina kecewa dakwaaan Ketua Pemuda UMNO Johor - Tiong King Sing

 


Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing meminta Ketua Pemuda UMNO , Noor Azleen Ambros meminta maaf atas dakwaannya bahawa peratusan pengundi Cina pada PRK DUN Mahkota adalah rendah.

Menurut beliau, dakwaan tersebut menafikan fakta dan hanya memetik statistik yang tidak berasas. 

"Beliau seolah-olah tidak menghargai sumbangan pengundi Cina dalam PRK tersebut. 

"Tiada ucapan penghargaan diberikan, sebaliknya masyarakat pula dipersalahkan, dan ini membuatkan kaum Cina berasa amat kecewa," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Mahkota Sabtu lalu menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 20,648 undi selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Beberapa pemimpin UMNO termasuk Noor Azleen kemudiannya dilapor mempersoalkan sumbangan DAP dalam PRK tersebut dengan berkata hanya 34 hingga 36 peratus sahaja pengundi Cina di DUN Mahkota yang mengundi.

King Sing berasa hairan dengan dakwaan Noor Azlen itu sambil mempersoalkan sama ada beliau tidak dapat berfikir dengan waras.

"Jika peratusan keluar mengundi kaum Cina begitu rendah, bagaimana Syed Hussien boleh memperolehi majoriti yang besar? 

"Realitinya, peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRK DUN Mahkota adalah 53.6 peratus, manakala peratusan keluar mengundi Melayu ialah 56.6 peratus.

"Ini jauh daripada 36 peratus seperti yang didakwa. Kenyataan melulu yang dibuat oleh Noor Azleen bukan sahaja menjadikan kaum Cina semakin dingin, malah secara tidak langsung menampakkan imejnya yang tidak profesional dan tidak matang," jelasnya.

Beliau menambah, kegagalan Noor Azleen melakukan semakan fakta amat mengecewakan dan dikesali malah tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya sendiri, malah partinya juga akan turut terpalit. 

"Jika Noor Azleen benar-benar bertanggungjawab atas segala tindakan yang dibuat, beliau harus memohon maaf kepada masyarakat Cina atas kenyataan yang telah dikeluarkan," katanya.

King Sing turut menasihatkan Noor Azleen supaya berhenti memalukan diri sendiri. 

"Memandangkan BN telah memenangi PRK ini dengan sokongan pelbagai pihak, beliau sepatutnya menghargai kepercayaan yang telah diberikan. 

"Beliau harus memastikan ADUN Mahkota yang baru dipilih itu turun padang berkhidmat kepada rakyat secepat mungkin dan berusaha ke arah pembangunan yang lebih baik di Mahkota," katanya.


JIWA MERDEKA

TAWARAN HEBAT!!!





Catat Ulasan

0 Ulasan