Ketika ini sedang hangat diperkatakan desas-desus mengenai kemungkinan Khairy Jamaluddin kembali ke pangkuan UMNO.
Setelah kalah di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 dan dipecat dari UMNO tidak lama selepas itu, bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak bergiat aktif dalam politik.
Timbul sekejap khabar angin Perikatan Nasional (PN) cuba memancing beliau untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan pada 2023 namun tiada apa pun yang berlaku.
Sehingga kini, Khairy yang menempa nama menerusi podcast Keluar Sekejap tidak menunjukkan minat untuk menyertai mana-mana parti politik.
Sememangnya, UMNO yang ketandusan pemimpin berkaliber memerlukan sentuhan Khairy untuk kembali sebagai kuasa politik yang dominan di negara ini.
Benar beliau telah melakukan kesilapan namun pengalaman itu pasti mengajarnya menjadi pemimpin yang lebih baik.
Sejak mula menceburi dunia politik secara aktif selepas Allahyarham Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO, Khairy sering disebut-sebut sebagai tokoh muda yang berpotensi menjadi Perdana Menteri.
Ada ketikanya Khairy dilihat bersikap 'besar kepala' namun kejatuhannya dalam politik selepas PRU15 telah mengajarnya bahawa formula untuk bertahan lama dalam politik adalah dengan memenangi hati akar umbi.
Berbeza dengan layanan karpet merah yang diterimanya selaku 'pemimpin muda payung terjun' semasa era Pak Lah, Khairy terpaksa berusaha membina pengaruh dari bawah setelah dipecat dari UMNO.
Namun, UMNO juga perlu sedar bahawa Khairy hanyalah sebahagian kecil daripada formula untuk kembali memenangi hati rakyat.
Misi paling besar adalah untuk memujuk akar umbi yang merajuk setelah menyaksikan kegagalan pucuk pimpinan UMNO bersuara lantang dalam usaha memastikan Datuk Seri Najib Razak menerima keadilan khususnya dalam isu pelaksanaan titah adendum.

0 Ulasan