Penyasaran subsidi diesel tak jejas prestasi ekonomi, kadar inflasi - Menteri Kewangan II


Berikut adalah teks ucapan penuh penerangan mengenai pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel yang disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat, hari ini:

A. MUKADIMAH

Assalamualaikum WBT dan Salam Malaysia MADANI.

Tan Sri Yang di-Pertua serta Ahli-ahli Yang Berhomat yang saya hormati.

1. Pada Sesi Penerangan Menteri ini, izinkan saya memberikan penerangan serta pencerahan berhubung usaha Kerajaan dalam melaksanakan Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel. Ahli Yang Berhormat juga boleh merujuk dokumen penerangan yang disediakan melalui imbasan kod QR yang diletakkan di atas meja Yang Berhormat.

B. LATAR BELAKANG SUBSIDI DIESEL DI MALAYSIA

2. Sebelum saya menerangkan lebih lanjut, saya mulakan dengan memberikan konteks berhubung tujuan utama Kerajaan perlu melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel.

3. Untuk makluman semua, perbelanjaan subsidi diesel negara telah meningkat 10 kali ganda iaitu daripada RM1.4 bilion pada tahun 2019, kepada RM14.3 bilion pada tahun 2023. Trend kenaikan subsidi diesel ini tidak mampu lagi ditampung Kerajaan secara berterusan. Peningkatan belanja subsidi bukan hanya disebabkan kenaikan harga pasaran tetapi juga akibat peningkatan ketirisan diesel bersubsidi.

4. Jumlah diesel bersubsidi yang digunakan telah naik mendadak sekitar 80% iaitu daripada 6.1 bilion liter pada tahun 2019 kepada 10.8 bilion liter pada tahun 2023 walaupun tiada peningkatan kenderaan
diesel baharu yang ketara dalam tempoh sama. Pada masa yang sama, jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi pula telah turun sebanyak 2 bilion liter dalam tempoh tersebut.

5. Peningkatan penggunaan diesel bersubsidi yang amat ketara ini disebabkan jurang perbezaan harga yang besar antara harga komersial dengan harga runcit diesel bersubsidi di pam Malaysia. Sebelum ini, harga diesel bersubsidi adalah pada RM2.15 seliter iaitu antara termurah di dunia
sedangkan harga komersial telah mencecah RM3.50 seliter.

6. Harga runcit diesel kita sebelum ini juga jauh lebih murah berbanding harga diesel negara jiran, antaranya Thailand sekitar RM4.20, Indonesia lebih kurang RM4.40 dan Singapura hampir mencecah RM9.00 seliter.

7. Jelaslah bahawa, jurang harga yang besar ini membolehkan sebilangan perniagaan sektor komersial tempatan yang sepatutnya
membeli diesel pada harga pasaran telah mengambil kesempatan menikmati dan menyeleweng diesel bersubsidi secara tidak sah.

Contohnya, mereka membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak dan disalahgunakan untuk gen set di kilang, tapak pembinaan atau ladang sawit.

8. Selain itu, isu yang lebih utama ialah, akibat harga diesel kita yang amat murah, ia telah menyebabkan aktiviti penyeludupan diesel ke
negara jiran sukar dibendung. Inilah yang ditemui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa Ops Tiris dengan tangkapan kenderaan yang telah diubah suai untuk penyeludupan diesel beroperasi terutamanya di kawasan sempadan.

9. Oleh sebab itu, satu-satunya cara untuk mengekang ketirisan secara efisien adalah dengan merapatkan jurang perbezaan harga
diesel tempatan dengan harga pasaran global.





C. MEKANISME PELAKSANAAN PENYASARAN SEMULA SUBSIDI DIESEL

Tan Sri Yang di-Pertua,

10. Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel melibatkan langkah penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang turut dilaksanakan serentak dengan penambahbaikan bantuan diesel untuk
golongan sasar. Khususnya bagi mengurangkan kesan kepada rakyat dan
harga barang pengguna, diesel bersubsidi diperluaskan kepada sektor logistik dan bantuan tunai disediakan bagi pemilik kenderaan diesel individu serta petani kecil dan pekebun kecil.

11. Kerajaan telah menetapkan semula harga runcit bahan api diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.35 seliter bermula 10 Jun 2024.

Manakala, harga runcit di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

12. Penetapan harga pada RM3.35 seliter adalah berdasarkan purata harga pasaran tanpa subsidi bagi bulan Mei 2024. 

Penetapan harga runcit diesel kepada harga tanpa subsidi adalah untuk memastikan tiada jurang perbezaan dengan harga diesel komersial yang sudah tentu dapat
membendung aktiviti penyeludupan daripada stesen minyak.

13. Dengan penetapan semula harga diesel di pasaran tempatan, perbelanjaan subsidi yang sebelum ini secara pukal, kini disasarkan
kepada sektor perniagaan dan individu yang 
layak.

14. PERTAMA: Bagi memastikan kelangsungan sektor perniagaan serta mengelakkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, diesel bersubsidi disediakan khusus untuk sektor-sektor berikut:

Satu: Sektor pengangkutan awam darat melibatkan 10 jenis kenderaan seperti bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti,
van jenazah, ambulans dan bomba kekal menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter;

Dua: Para nelayan kekal menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter; dan

Tiga: Sektor logistik melibatkan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan darat layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter. Jenis kenderaan yang layak termasuklah lori rigid kargo am, minuman botol, hasil pertanian, air, tepung, kandang haiwan, perkhidmatan bergerak dan sampah.

15. Semua sektor yang layak ini akan menikmati diesel pada harga bersubsidi melalui kaedah fleet card. Ini bermakna, kenderaan mengangkut barangan termasuklah hasil pertanian, buah-buahan dan sayur-sayuran juga layak menikmati diesel bersubsidi. Kaedah fleet card merupakan mekanisme yang lebih baik untuk menyasarkan subsidi kepada sektor ekonomi kerana pembelian diesel bersubsidi boleh dikawal, dipantau dan dikuatkuasakan mengikut jenis kenderaan serta kuota subsidi tertentu.

16. KEDUA: Bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan perubahan harga diesel di pasaran, Kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI iaitu bantuan tunai langsung kepada individu yang layak.

17. BUDI MADANI melibatkan dua (2) kategori bantuan iaitu:

Satu: BUDI MADANI Individu kepada rakyat yang memiliki kenderaan diesel persendirian dengan syarat tertentu; dan

Dua: BUDI MADANI Agri-Komoditi kepada petani, penternak, pengusaha akuakultur serta pekebun komoditi berskala kecil
dengan syarat tertentu.

18. Pemohon yang layak akan disalurkan bantuan tunai berjumlah RM200 sebulan atau RM2,400 setahun. Berdasarkan data perbelanjaan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bantuan tunai RM200 sebulan memadai untuk menampung perbelanjaan tambahan untuk sekurang-kurangnya 80% pengguna kenderaan diesel persendirian.

Perkiraan ini mencukupi untuk membiayai perubahan harga diesel bagi perjalanan harian sepanjang 75 kilometer berdasarkan kegunaan kenderaan diesel biasa seumpama pickup truck seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger.




D. IMPAK PELAKSANAAN PENYASARAN SEMULA SUBSIDI DIESEL

Tan Sri Yang di-Pertua,

19. Alhamdulillah, impak pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel adalah amat memberangsangkan dan berlangsung sepertimana dirancangkan.

20. Sepertimana sebelum ini, kenderaan pengangkutan awam darat dan nelayan terus menikmati diesel bersubsidi masing-masing pada harga RM1.88 dan RM1.65 seliter.

21. Untuk kategori logistik yang baru diperkenalkan pula, setakat 20 Jun 2024, sebanyak 73 ribu syarikat melibatkan 223 ribu kenderaan pengangkutan barangan darat telah membuat permohonan dan
diluluskan untuk menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter. (Daripada jumlah tersebut, 129 ribu fleet card telah dikeluarkan oleh syarikat minyak)

22. Untuk BUDI MADANI, setakat 19 Jun 2024, sebanyak 100,000 pemohon di bawah BUDI MADANI Individu dan BUDI MADANI Agri-
Komoditi telah diluluskan. Daripada jumlah tersebut, 76,000 pemohon telah menerima bantuan tunai bulanan RM200 mereka seawal 10 Jun lalu.

23. Saya mengambil kesempatan ini,menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak, untuk segera mendaftar bagi mendapatkan bantuan tunai diesel bulan Jun. Bantuan tunai BUDI MADANI hanya bermula pada bulan permohonan dibuat. Individu yang layak boleh mengetahui lebih lanjut dan memohon di portal BUDI MADANI.

24. Untuk makluman semua, susulan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, berdasarkan rekod, jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir 8 juta liter sehari atau 30% untuk
minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel berbanding minggu sebelum pengumuman.

25. Bagi tempoh yang sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak 4 juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran. Ini bermakna,
trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang.

26. Antara maklumat yang diterima daripada salah satu syarikat minyak, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40%. Ini mengesahkan bahawa sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara
sempadan kita.

27. Buat masa ini, badan-badan penguat kuasa giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan dan juga sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan
dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

28. Antaranya, KPDN telah melaksanakan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 bagi mengekang aktiviti ketirisan subsidi diesel. Pasukan Petugas ini turut melibatkan badan penguat kuasa lain seperti Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

29. Tahun lalu, sebanyak 877 kes telah dikendalikan di bawah OPS TIRIS 1.0 dan 2.0 melibatkan jumlah sitaan sekitar 6.44 juta liter minyak diesel dengan anggaran nilai lebih RM14.2 juta. Sitaan ini turut melibatkan aset dan peralatan seperti kenderaan, hos dan alatan menyedut minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM42.1 juta. Hasil tindakan ini juga telah berjaya menangkap 667 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan ketirisan subsidi negara.

30. Pada 1 Januari 2024, operasi ini diteruskan di bawah rangka kerja OPS TIRIS 3.0 dan sehingga 22 Jun 2024, 570 kes telah dikendalikan melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak lebih 5.1 juta liter dengan anggaran nilai hampir RM12 juta dan RM46 juta nilai rampasan aset serta peralatan serta 275 tangkapan telah dilaksanakan ke atas
individu terlibat.

31. Susulan keputusan untuk menyasarkan subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, KPDN juga telah menggerakkan OPS KESAN 2.0 seawal 2 Mei 2024 bagi memantau impak pelaksanaan serta memastikan tiada elemen pencatutan berlaku selaras dengan undang-udang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

32. Setakat 20 Jun 2024, sebanyak 2,100 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 210 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara. Sehingga kini sebanyak 7 kes telah dikenal pasti hasil pelaksanaan OPS KESAN 2.0. Analisis
pencatutan akan disediakan bagi tujuan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut terhadap notis-notis.

33. Selanjutnya, bermula pada 20 Januari 2024 juga, para pegawai Penguat Kuasa KPDN di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan telah menjalankan pemeriksaan di 8 pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam,
Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi memastikan pematuhan ke atas akta dan perundangan subsidiari yang berkuat kuasa. Hampir 30 ribu pemeriksaan telah dijalankan dan telah mula dikenal pasti kes yang
melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki cuba membawa keluar barang kawalan bersubsidi ke negara jiran.

34. Dengan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, diunjurkan bahawa, Kerajaan mampu meraih penjimatan tahunan sebanyak
RM4 bilion. Penjimatan ini tentunya dapat dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

35. Perlu juga untuk ditekankan bahawa, berbanding dengan kos subsidi diesel RM14 bilion tahun 2023, penjimatan RM4 bilion setahun bermakna Kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion, antaranya untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak (RM3 bilion),bsubsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik Semenanjung Malaysia (RM4 bilion), bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi (RM2 bilion) serta subsidi diesel nelayan
(RM1 bilion). Maknanya, walaupun Kerajaan telah mengambil langkah menyasarkan subsidi bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan tetapi, golongan yang memerlukan akan terus menerima bantuan dan subsidi diesel.

36. Pendekatan penyasaran semula subsidi diesel yang diambil iaitu menyediakan diesel bersubsidi kepada sektor logistik dan bantuan tunai bulanan kepada individu akan mengurangkan tekanan ke atas harga barang
pengguna dan impak kepada rakyat. Dengan itu, walaupun terdapat perubahan harga runcit diesel yang ketara, namun dijangka tidak akan
menjejaskan prestasi ekonomi atau menjejaskan kadar inflasi. Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, ekonomi negara masih tetap mencapai unjuran rasmi Kerajaan
terhadap kadar inflasi 2024 iaitu antara 2% hingga 3.5% serta kadar pertumbuhan KDNK 2024 antara 4% hingga 5%.




E. PENUTUP

Tan Sri Yang Di-pertua,

37. Keputusan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel bukanlah satu langkah mudah untuk diambil. Kerajaan tidak terburu-buru, malah sentiasa memberi perhatian khusus untuk memastikan mekanisme terbaik digunakan bagi melindungi sektor perniagaan dan rakyat yang layak dibantu.

38. Keputusan ini juga melibatkan kerjasama utuh semua pihak, sama ada jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Kewangan (MOF),
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian l Pengangkutan (MOT) mahupun syarikat minyak dan pemain industri.

39. Mengakhiri Sesi Penerangan ini, sukacita saya mengharapkan agar semua Ahli Yang Berhormat dapat menyokong usaha Kerajaan dalam memastikan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan jayanya.
Ketirisan wang rakyat tidak boleh lagi dikompromi; perubahan segera dan sekarang tidak boleh dielakkan.

40. Semoga kita dapat berganding bahu menjayakan pembaharuan fiskal dan memajukan ekonomi negara supaya akhirnya nanti kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan.

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Catat Ulasan

0 Ulasan