Transaksi jualan saham MAHB tidak melibatkan BlackRock sama sekali - PMX


DARIPADA : DATO' INDERA MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH
[ PAYA BESAR ]

TARIKH : 25 JUN 2024 (SELASA)

SOALAN

Minta YAB PERDANA MENTERI memberi penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Jawapan:

1. Kerajaan Madani telah menyatakan dan kekal teguh dalam pendirian kami terhadap serangan yang tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

2. Kerajaan tiada halangan kepada mana-mana syarikat yang berminatuntuk melabur di negara kita. Tetapi yang kita larang adalah syarikat milik Israel. Sebagai contoh syarikat perkapalan ZIM milik Israelyang telah kita sekat daripada berlabuh di negara kita sejak
Disember 2023.

3. Dalam hal Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Konsortium yang diterajui pemegang saham sedia ada MAHB iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) telah memilih GIP kerana menepati kriteria berikut: 

i. Pemilikan kepakaran teknikal dalam pengendalian lapangan terbang dan kekuatan kewangan untuk melaksanakan transaksi dan pelaburan besar;

ii. Rekod pencapaian yang kukuh dalam transformasi lapangan terbang;

iii. Kesanggupan untuk mengambil kepentingan minoriti; dan

iv. Kesanggupan untuk keluar setelah usaha transformasi tersebut membuahkan hasil.

4. Sebagai tambahan, KWSP telah melabur dengan GIP dalam aset-aset infrastruktur sejak tahun 2012. Antara aset-aset yang dilabur dalam kerjasama ini termasuklah lapangan terbang Sydney, Australia
dan Lapangan Terbang Gatwick, London.

5. BlackRock, Inc. ialah pengurus aset terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) $10.5 trilion (setakat 31 Mac 2024) (Bersamaan dengan RM49.35 Trillion; 1 AS$ = RM4.70). Ia memegang saham dalam hampir semua syarikat tersenarai awam di seluruh dunia. Sebahagian besar portfolio BlackRock dikhususkan untuk pelaburan berkaitan indeks yang pasif, ini termasuk gergasi teknologi seperti Apple, Facebook dan Google. Di pasaran Amerika Syarikat, pegangan BlackRock dalam setiap syarikat terbesar S&P500 secara purata adalah sekitar 7.35%.

6. BlackRock telah pun berada di Malaysia sejak tahun 1990-an. Menurut data yang boleh diperoleh secara terbuka setakat Mei 2024, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi sektor industri, dengan tiga (3) entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini. Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 billion di Malaysia iaitu:

i. RM20.5 billion dalam pasaran saham di Bursa Malaysia; dan

ii. sekitar RM7.0 billion dalam Bon kerajaan dan Korporat di Malaysia.

7. Pada tahun 2021, BlackRock juga telah dipilih oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

8. Menerusi peruntukan itu, KWSP telah menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian - BlackRock, HarbourVest Partners LLC, dan Partners Group AG. Tambahan, usaha ini telah bermula sejak tahun 2018 sebelum dilancarkan oleh KWSP pada tahun 2021.

9. Pihak Konsortium juga telah menjelaskan bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung
MAHB. Pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan mereka, termasuklah MAHB seandainya transaksi ini dimuktamadkan nanti.

10. Memandangkan lapangan terbang memainkan peranan yang amat penting dalam pertumbuhan ekonomi negara, usaha pembaharuan dan transformasi MAHB wajar dilaksanakan dengan kadar yang segera berdasarkan pada statistik berikut:

i. Sebelum pandemik melanda, kemasukan pelancong ke Malaysia (tidak termasuk mereka yang melakukan perjalanan harian) dalam tempoh 10 tahun hanya berkembang pada kadar 1% setahun berbanding negara-negara jiran serantau pada kadar 8% setahun;

ii. Bagi segmen penerbangan jarak jauh, Malaysia hanya menawarkan 22 laluan pada 2023, berbanding 40 yang ditawarkan Singapura dan 55 yang ditawarkan Thailand; dan

iii. Dari segi pelaburan pula, MAHB hanya membelanjakan RM1.4 bilion dalam tempoh 5 tahun yang lalu berbanding RM6.6 bilion oleh Thailand dan RM12 bilion oleh Indonesia.

11. Atas dasar inilah, konsortium tersebut yang diterajui oleh Khazanah dan KWSP, selepas ini akan memiliki majoriti 70% pegangan bersama dalam MAHB. Mereka telah mengemukakan tawaran bagi mengambil alih dan menswastakan MAHB untuk memudahkan pembaharuan yang diperlukan ini dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.

12. Baki 30% pegangan di bawah konsortium ini pula akan dimiliki oleh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP yang hadir dengan pengalaman dan kepakaran teknikal dalam pengendalian operasi lapangan terbang antarabangsa.

13. Konsortium tersebut beranggap bahawa penswastaan MAHB merupakan langkah yang terbaik kerana ia membolehkan sebarang
keputusan dan pelaburan jangka panjang dibuat pada kadar yang lebih pantas.

14. Antara fokus utama yang akan diberikan tumpuan oleh konsortium berkenaan adalah seperti berikut:

i. Menyiapkan projek bermodal berkeutamaan tinggi;

ii. Meningkatkan pengalaman penumpang di semua lapangan terbang;

iii. Bekerjasama dengan syarikat penerbangan;

iv. Mempercepatkan pelaburan modal; dan

v. Membangunkan perniagaan sampingan di sekitar lapangan terbang.

15. Kerajaan percaya usaha transformasi MAHB ini sekiranya membuahkan hasil nanti akan dapat menarik lebih banyak syarikat
penerbangan dan penumpang, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan memberi pulangan kepada Kerajaan.

16. Secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan ini merupakan urusan transaksi komersial. Perbincangan yang telah dijalankan oleh wakil-wakil konsortium juga tidak melibatkan BlackRock.

Kerajaan juga dimaklumkan oleh wakil-wakil daripada konsortium bahawa meskipun setelah GIP diambil alih oleh BlackRock nanti,
pengurusan GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab terhadap hala tuju strategik GIP serta syarikat-syarikat yang dilabur.

17. Ini bermakna GIP akan terus beroperasi secara berasingan daripada BlackRock. ADIA bersama GIP juga akan memiliki pegangan minoriti 30% dalam MAHB. Segala keputusan penting berkenaan MAHB hanya akan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama ahli-ahli konsortium. Justeru itu, transaksi ini tidak melibatkan BlackRock sama sekali.

18. Kerajaan juga mengambil perhatian terhadap kenyataan akhbar oleh pakar yang dilantik Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Jun 2024 yang bertajuk “Negara dan syarikat mesti menamatkan pemindahan senjata ke Israel dengan segera atau berisiko mencabuli hak asasi manusia”. Ini merupakan inisiatif baik oleh organisasi tersebut untuk memberi tekanan kepada syarikat-syarikat pembekal senjata tertentu untuk menghentikan isu kemanusiaan di Palestin selari dengan sekatan yang dijalankan oleh negara Amerika Syarikat terhadap beberapa buah negara, entiti dan individu di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, isu ini dipolitikkan di luar konteks oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.






SOALAN TAMBAHAN 
[Paya Besar] – Soalan Tambahan 1

Terima kasih YAB Tambun atas penjelasan berkaitan isu pengambilalihan saham MAHB tetapi saya ada beberapa kekeliruan yang mungkin dapat dijelaskan di dewan yang mulia ini. Ini satu keputusan dan perkara yang besar, adakah telah dibawa ke kabinet? Kerana ada sumber daripada kabinet sendiri
mengatakan perkara ini tidak dibawa ke kabinet. Kedua, mengapa kita laksanakan sekarang? Tak tunggu dulu dua, tiga tahun lagi ataupun bagaimana? Kenapa kita mulakan sekarang? Ketiga, ia melibatkan lapangan terbang, Sudah pasti isu
keselamatan negara juga akan terjejas. Bagaimana jaminan Kerajaan dengan pengambilalihan saham ini tidak akan menjejaskan isu keselamatan negara kita. Berikutnya, kenapa tidak ada syarikat Malaysia yang mampu untuk kita bekerjasama dalam konsortium ini dan apakah implikasi yang terdekat sekiranya Kerajaan membatalkan kerjasama dengan GIP ini.

[Jawapan]

Pertama semua pelaburan PNB, KWSP, Khazanah itu bukan urusan kabinet. Selama ini dan saya lihat juga Minit-minit Mesyuarat Kabinet sebelumnya, keputusan pelaburan
Khazanah, PNB ataupun KWSP tidak dirujuk untuk kabinet, termasuk semasa rakan-rakan di sebelah sana menjadi anggota Jemaah Menteri. Tetapi dalam kes ini, saya ada maklumkan selepas itu. Saya maklumkan ke kabinet, ini yang berlaku, ini sebagai makluman sahaja. Jadi kalau ada ahli kabinet bangkitkan bahawa “kami tidak tahu” itu betul, kerana saya maklumkan setelah keputusan dibuat. Mengapa sekarang? Ini kerana dirunding sejak setahun yang lalu, melihat kepada keupayaan dan kapasiti pengurusan lapangan terbang sekarang. Walaupun ada mencatat keuntungan, tetapi unjuran keuntungan dan kapasiti itu jauh lebih rendah daripada apa yang dicapai oleh lapangan terbang negara-negara jiran sama ada Singapura, Thailand atau Jakarta. Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana masih milik Kerajaan. Keselamatan tanggungjawab Kerajaan, Pengerusi syarikat dan CEO masih rakyat Malaysia, itu syarat-syarat kelayakan. Jadi soal penjualan MAHB tidak berbangkit sama sekali kerana milik Kerajaan daripada 41% ke 70%. Pengerusi syaratnya mesti rakyat Malaysia, CEO mesti rakyat Malaysia, keselamatan keseluruhannya tanggungjawab Kerajaan Malaysia. Pertama, mengikut Khazanah dan KWSP, melihat pada prestasi tentunya kita memerlukan sedikit masa. Sepertimana kes digital atau AI, itu kerjasama atau semi konduktor dengan syarikat asing itu sangat penting, termasuklah dalam soal pengurusan lapangan terbang berskala besar. Keduanya implikasinya memang berat. 

Pertama kita sebut dalam penyenaraian yang besar. Ini yang akan digunakan untuk menyerang saya bila saya sebut kalau syarikat itu ada kepentingan Israel. Keputusan kita syarikat Israel. Syarikat Apple, Microsoft , NVIDIA semua ada kepentingan dengan Israel. Apakah kita batalkan? Bunyinya sedap bagi orang dengar, seronok, kita ini pejuang tetapi sebenarnya tidak realistik. Saya berbincang dengan pimpinan Hamas, tidak berbangkit pun. Ini lebih Hamas daripada Hamas. 

Ini yang jadi masalah kita. Jadi saya nak jelaskan di sini bahawa menjual maknanya 20 bilion pasaran saham di Malaysia. Ada yang kata “apa salahnya, kerana prinsip kita boleh, jangan kita korbankan maruah negara”. Tapi soal prinsip kita tak korbankan apa-apa. Apa yang kita korbankan kerjasama dengan GIP? Apa yang dikorbankan oleh Kerajaan Perikatan Nasional tatkala serah BlackRock untuk urus dana EPF? Tidak ada korban. Saya
pertahankan keputusan itu. Saya tidak jadikan ini isu politik.

Tetapi saya nak bagi data dan angka supaya kita tahu keadaannya.




[Machang] – Soalan Tambahan 2

Dari segi meritnya, saya dan pembangkang dan rakyat Malaysia tidak nampak di mana logic dan relevannya kita membawa masuk GIP untuk membantu MAHB, sebuah syarikat yang berdaya saing, yang tidak pernah rugi kecuali zaman COVID.

Malah kalau kita lihat, GIP antara operator yang menguruskan lapangan terbang terburuk di dunia. Saya ada pengalaman naik
kapal terbang di Gatwick, cramped, sendat, lambat, tidak langsung selesa dan pengalaman ini kita nak bawa masuk ke
Malaysia? Kita ada lebih ramai lapangan terbang yang lebih baik, Incheon, Changi, Narita, Haneda. Kenapa kita tidak boleh mencari partner yang lain daripada GIP yang memang kita tahu akan dimiliki oleh BlackRock pada hujung tahun ini. Dari segi faktanya, adakah RM11 per saham itu betul-betul nilai yang adil? 

Banyak penganalisa yang mengatakan sepatutnya ianya perlu lebih tinggi memandangkan konsesi telah dilanjutkan kepada 45 tahun. Ini menunjukkan perkara-perkara ini perlu dibahaskan di Parlimen agar pandangan dapat dibawa. Saya nak bangkitkan juga dari segi keselamatan. KKR, GIP, BlackRock, terlibat dalam Indoor Pacific Economic Framework untuk melabur di
infrastruktur-infrastruktur di rantau kita. Ini adalah strategi geopolitik Amerika Syarikat untuk counter dan contain China dari segi BRI (Belt and Road Initiative) dia rantau kita. Apakah kita mahu serahkan lapangan terbang kita kepada syarikat-syarikat ini yang akan memulakan perang ekonomi.

[Jawapan]

Khazanah melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 syarikat yang berminat, akhirnya 5 yang layak. Syarat yang ditetapkan oleh Khazanah ketat, yang tidak dipersetujui oleh kebanyakan. Pertama dan kedua, Pengerusi dan CEO, rakyat Malaysia, ketiga, majoriti pegangan Malaysia. Yang berminat syarikat-syarikat lain, baik Singapura dan lain, dia nak hak mengurus, maknanya CEO rakyat dia ataupun yang dia tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi itu sebabnya mengapa GIP diambil. Dibangkitkan Gatwick, lapangan terbang itu dalam keadaan yang parah diambil alih, dan memang kalau di peringkat prestasi jauh lebih baik daripada sebelumnya. Tapi saya bukan di sini untuk pertahankan peranan GIP di Gatwick.

Tetapi saya nak jelaskan anggapan bahawa harus diserahkan kepada yang lain, Jepun dan sebagainya. Menurut keterangan Khazanah bahawa sukar mana-mana syarikat asing nak bekerjasama kalau dia tidak kuasai majoriti atau mengurus atau jadi Pengerusi dan CEO. Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat. Terutama dari segi penguasaan majoriti syer, kerana kita mesti kekalkan 70% syarikat Malaysia, Khazanah dan KWSP. Kalau soalnya BlackRock yang
dibangkitkan tadi, mengapa ambil GIP, soalnya mengapa tak fikir tahun 2021 tak fikir pula, sekarang tak boleh. Tahun 2021 BlackRock itu juga ada agenda yang sama. Ini masalahnya, hukum itu berubah ikut keadaan.




[Kota Melaka] – Soalan Tambahan 3

Kenapa kita perlu menswastakan supaya kita jelaskan kepada orang ramai di luar sana, dan adakah peluang pekerjaan kepadakakitangan sedia ada akan terjejas. Juga, adakah 
Kerajaan akan salurkan lebih banyak wang Pembayar cukai untuk selamatkan MAHB ini dan juga yang akhirnya pencarum KWSP, bagaimana kita nak memberikan jaminan kepada mereka supaya pelaburan ini akan memberikan pulangan yang lumayan di masa panjang.

[Jawapan]
Kekuatan dalam pengurusan ini adalah kekuatan kejuruteraan dan teknikal. Kita memang uruskan yang lain itu baik. Jangan bagi gambaran seolah-olah kita tidak dapat uruskan dengan baik, memang mencatat keuntungan pun walaupun tidak besar.

Tetapi isu yang dibangkitkan oleh Kota Melaka ini soalan penswastaan tidak timbul. Bukan dikatakan penjualan. Ini diambil daripada pasaran semasa. Kita ambil alih daripada 41% hingga ke 70%. Jadi bukan penswastaan namanya. Ini masih milik Khazanah dan KWSP. Keduanya tentang kekuatan teknikal dan kejuruteraan yang kita kurang upaya. Kemudian dengan suntikan dana yang baru ini, RM10 bilion. Kalau setakat RM1-2 bilion kita ada keupayaan. 

Sepertimana yang kita sebut, kalau
kita ambil dana Khazanah dan EPF RM10 bilion, ia akan menjejaskan pelaburan dalam sektor lain. 

Walaubagaimanapun, sepertimana yang kita tahu, keperluan untuk meningkat keupayaan, membesarkan infrastuktur lapangan terbang, bukan sahaja di KLIA malah merata tempat ini sangat mendesak. Oleh itu suntikan dana itu besar. Tentang kepentingan kakitangan dan pulangan daripada KWSP saya percaya akan lebih baik. Kerana pelaburan ini pelaburan yang dianggap sangat baik. 

Tetapi tentang kedudukan kakitangan itu agak terlalu awal. Tapi saya boleh beritahu, pendirian kita selama ini selalunya dalam keputusan ini kita pertahankan kedudukan kakitangan yang sedia ada.

Catat Ulasan

0 Ulasan