Adam Adli jangan matikan semangat reformasi PKR - Pemuda UMNO

 



Pemuda UMNO meminta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim supaya jangan mematikan semangat reformasi partinya sendiri.

Ia adalah berikutan kenyataan Adam mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bahawa kerusi enam bekas ahli Bersatu tidak dikosongkan.

Berikut adalah kenyataan penuh Exco Pemuda UMNO,  Wan Muhammad Zuhir Ghazali hari ini:

Akta Anti Lompat Parti tahun 2022 digubal dengan tujuan untuk memastikan kestabilan politik dan melindungi hak sesuatu blok dalam parlimen. Kalau di amati, undang-undang ini sangat signifikan dalam mengekalkan kewibawaan sistem demokrasi berparlimen di negara kita. Bukankah dengan mekanisme ini, ahli parlimen yang telah dipilih, daripada mengambil tindakan narsisis untuk menukar-nukar parti demi untung laba peribadi. Walaupun tindakan tersebut boleh menggugat kestabilan politik dan meruntuhkan kepercayaan pengundi.

Sebab itu saya ajaib dengan YB saudara Adam Adli. Dia kata: “enam ahli parlimen tersebut tidak pun membelakangi undang-undang, memandangkan mereka tidak pernah tukar keahlian parti.” Sambil dia menasihati dikalangan ahli Kerajaan perpaduan supaya tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan hanya akan menambah kekeliruan. Saya agak terkedu dengan adegan saudara Adam Adli kali ini. Mengapa dia begitu naif dengan dengan realiti yang begitu jelas? Ia bukan soal siapa yang berbeza pandangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, maka dia berperangai pembangkang. Ini jelas soal prinsip asas dan nilai yang sama sekali akan merugikan rakyat pada masa depan.

Sewajibnya saudara Adam Adli menjunjung leluhur dan prinsip-prinsip asas disebalik kenapa Akta Anti Lompat Parti Tahun 2022 ini digubal. Ketika pasca PRU 14, adakah saudara Adam Adli sudah lupa bagaimana runtuhnya kerajaan yang tertubuh hasil daripada peti undi disebabkan berlakunya migrasi berjemaah oleh ahli-ahli parlimen yang sebahagiannya daripada parti Keadilan juga. Kesan daripada kes tersebut, 3 Perdana Menteri bersilih ganti. Dasar-dasar awam banyak yang tergendala. Pelabur asing beralih-arah. Negara kita dalam tidak stabil dan terumbang-ambing. Akhirnya, yang menjadi mangsa tidak bersalah dalam keadaan ini tidak lain adalah rakyat. Justeru, jangan sekali lagi kita memangsakan nasib rakyat yang tidak bersalah.

Sekali lagi saya ulang, untuk menyelamatkan kestabilan politik negara, maka akta ini digubal dan dipersetujui sebulat suara Dewan Rakyat. Dalam masa yang sama untuk meningkatkan tahap kepercayaan awam kepada institusi demokrasi kita. Apakah saudara Adam Adli sudah lupa dengan nilai yang hendak diketengahkan dalam Akta Anti Lompat Parti ini?

Yang sepatutnya Adam Adli lakukan, bukan mengkritik orang-orang politik yang tidak selairan dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Malah dia sepatutnya menasihati Yang Dipertua Dewan Rakyat yang datang dari parti dia supaya tidak mengambil tindakan yang akan menambah bencana di masa hadapan.

Cadangan saya melihatkan kepada situasi semasa, Akta Anti Lompat Parti 2022 ini mesti disemak semula. Terdapat ruang-ruang yang mesti diperbaiki. Setiap ahli parlimen mesti sedar terhadap realiti kelopongan ini. Kita mesti akui bahawa adanya kelemahan dalam akta ini yang bersifat separuh masak.




Kita sepatutnya bimbang dengan Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang mungkin menetapkan contoh dan precedent yang tersasar. Yang mana kesalahan ini mungkin perlu dibayar dengan harga yang mahal bahkan jangan pelik kalau rakyat makin muak dengan orang politik yang mungkin hanya memikirkan soal tembolok sendiri sahaja.

Catat Ulasan

0 Ulasan