Buli siber Esha: Seorang wanita ditahan polis

Gambar hiasan: Cottonbro Studio / Pexels

Berikut adalah kenyataan Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berhubung perkembangan kes buli siber yang menyebabkan seorang wanita mengambil nyawanya sendiri:

Pada 06/07/2024 jam lebih kurang 4.13 petang, pihak Polis telah menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun berkenaan ugutan melalui aplikasi Tiktok terhadap seorang pempengaruh media sosial yang dikenali dengan nama Rajeswary (Esha).

Siasatan pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 30/06/2024 jam lebih kurang 10.15 malam dan 01/07/2024 jam lebih kurang 4.10 pagi. Semasa pengadu berada di Lorong Kolam Air 8 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur telah terlihat dua posting melalui aplikasi Tiktok bernama Dulal Brothers dan Tiktok Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary (Esha).

Kedua-dua akaun Tik Tok tersebut telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing. Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis namun disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun Tiktok tersebut. Kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib)

Pada 08/07/2024 jam lebih kurang 1.45 pagi pihak polis telah menahan salah seorang suspek yang merupakan (1) perempuan warga tempatan berumur 35 tahun di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor dipercayai terlibat dalam kes ini. Suspek kini ditahan reman di IPD Sentul bermula 08/07/2024 sehingga 10/07/2024 untuk membantu siasatan polis.

Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel ataupun kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp. Kumaran Krishnan di talian 010-9093726 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222.




Catat Ulasan

0 Ulasan