Isu tajaan syarikat arak: Maszlee desak Aiman Athirah letak jawatan


Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendesak Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Al-Jundi meletak jawatan. 

Desakan itu berkaitan dengan penglibatan Aiman Athirah dalam acara yang mempromosikan syarikat arak di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini.

Maszlee menyifatkan insiden tersebut sebagai tindakan yang memalukan dan menjatuhkan imej Parti Amanah Negara serta masyarakat Parlimen Sepang yang diwakili Aiman Athirah. 

Beliau menekankan bahawa prinsip "Islam Rahmah" yang dibawa oleh Amanah tidak pernah menghalalkan arak, apatah lagi dalam konteks acara pendidikan.

"Jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau wajar meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen secara terhormat dan juga sebagai Ketua Wanita Amanah.

"Ini akan menjadi pengajaran kepada ahli-ahli Parlimen Amanah yang lain untuk lebih teliti dan berhati-hati dalam menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini..

Tambah Maszlee, tindakan mempromosikan syarikat arak di sekolah bukan sahaja bertentangan dengan prinsip agama tetapi juga membahayakan kesejahteraan masyarakat. 

Beliau menegaskan, langkah Kementerian Pendidikan menolak promosi arak di sekolah adalah sejajar dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan pekeliling KPM yang sedia ada, serta semangat MADANI yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Maszlee turut menyatakan kekesalannya terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengkritik Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung isu tersebut. 

Beliau berkata, Guan Eng tidak sepatutnya melihat isu promosi arak dalam acara sekolah dari sudut politik, agama atau perkauman. 

"Sebaliknya, isu ini berkaitan dengan kesihatan, kesejahteraan hidup dan pendidikan sivik.

"Apa yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan, selaras dengan keputusan Kabinet dan semangat MADANI. 

"Membenarkan promosi syarikat arak di sekolah boleh membuka pintu kepada promosi industri-industri tidak sihat lain seperti tembakau, vape, perjudian dan hiburan kelab malam," tegasnya.

Justeru, Maszlee menyeru semua pihak agar melihat isu itu dari perspektif kesihatan dan kesejahteraan masyarakat dan bukannya melalui lensa politik semata-mata.




Catat Ulasan

0 Ulasan