Lelaki dakwa ditumbuk Orang Besar Undang Luak Rembau

 

Gambar hiasan: Pixabay / Pexels

Seorang lelaki mendakwa telah ditumbuk oleh individu yang dikatakan bergelar Orang Besar Undang Luak Rembau pada 4 Julai lalu. 

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Balai Undang Luak Rembau ketika kedua-duanya menghadiri Majlis Kerapatan Lembaga Suku Biduanda, Orang Besar Undang dan Buapak Lapan Kampung.

Menurut beliau, mangsa telah dirujuk ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Polis telah mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan telah memohon serta memperoleh Perintah Menjalankan Siasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan pada 5 Julai 2024. 

"Seramai 17 orang saksi telah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Ahmad Dzaffir menambah, polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau spekulasi, memandangkan siasatan lanjut masih diteruskan. 




Catat Ulasan

0 Ulasan