Agama dan budaya mana benarkan penganutnya berjudi? - PAS Kedah

 


PAS Kedah mengambil sikap tegas menyokong keputusan Kerajaan Negeri Kedah untuk menutup premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari lalu, setelah Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya kesal dengan tindakan syarikat perjudian yang hanya memikirkan keuntungan sendiri sehingga mengetepikan kesan ketagihan judi yang telah merosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat di negeri tersebut. 

Menurut beliau, alasan yang dikemukakan syarikat judi tersebut bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbangkan kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar. 

"Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. 

"Bahkan, ia hanya menghasilkan keuntungan untuk operator premis judi tanpa sebarang manfaat positif kepada masyarakat," tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad menambah, PAS Kedah juga menggariskan bahawa penutupan premis dan kedai perjudian di bawah dasar 'Kedah Bebas Judi' adalah langkah yang tepat dan patut dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Beliau memberitahu, garis pemisah kuasa antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini adalah jelas dan perlu dihormati.

Ahmad berkata, PAS Kedah turut menyokong langkah Kerajaan Negeri Kedah untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan keputusan yang dibuat itu. 

"Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab," ujarnya. 




Catat Ulasan

0 Ulasan