PRK Nenggiri: Calon BN wakili Kerajaan Perpaduan - Asyraf


Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju Barisan Nasional (BN) meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyra Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang berlangsung pada 9 Julai lalu, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri pimpinan tertinggi mewakili BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Pimpinan kedua-dua parti, memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 serta 13 Ogos.

PRK itu diadakan setelah SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, terhenti keahlian BERSATU pada 13 Jun lalu.




Catat Ulasan

0 Ulasan