Katak politik yang untung, yang terus jahanam negara dan rakyat - Akmal

 


Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh lepas geram berhubung isu keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengisytiharkan kerusi-kerusi Parlimen yang disandang enam bekas wakil rakyat Bersatu sebagai tidak dikosongkan.

Lebih-lebih lagi selepas Timbalan Ketua Pemuda PH, Hasbie Muda meminta beliau menghormati keputusan Johari itu.

"Sebelum nak hormat keputusan Speaker,sebagai pemimpin apa yang lebih penting adalah hormat hak rakyat untuk menolak katak-katak politik dari terus menjahanamkam negara! Adakah ia terpakai kepada satu pihak? 

"Jika lepas ini ada pihak lain yang nak menyatakan sokongan kepada yang lain adakah kita nak benarkan??

"Akhirnya yang untung katak politik, yang terus jahanam negara dan rakyat yang menanggungnya!!" katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.



Semalam, Hasbie dilaporkan berkata, Johari mempunyai kuasa membuat keputusan mengekalkan kedudukan enam wakil rakyat terbabit.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selasa lalu, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain serta Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia, selain terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Disember lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan