Tongso Terdiam

 

Gambar hiasan: Vitaly Gariev / Pexels

Di sebuah pejabat bersaiz sederhana di tengah-tengah bandar raya, seorang lelaki memandang keluar tingkap. Hujan gerimis membasahi kota metropolitan, seakan mencerminkan perasaan yang sedang hebat berkecamuk dalam dirinya. Lelaki itu adalah seorang raja formula yang gigih berusaha memulihkan ekonomi negara yang dilanda kemelesetan.

Jam di dinding menunjukkan angka 10 malam, namun lelaki itu masih tekun bekerja. Timbunan kertas kerja dan laporan ekonomi kelihatan berselerak di atas mejanya. Pada setiap helaian kertas itu tercatat impian dan harapan untuk rakyat, seakan beban berat yang dipikul di atas bahunya.

Lelaki itu menghela nafas panjang. Matanya kelihatan letih, namun semangatnya tetap membara. Hari ini adalah hari yang penuh cabaran. Pelbagai mesyuarat dihadiri, keputusan sukar diambil, dan hujah yang perlu disusun dengan teliti. Semuanya demi satu tujuan iaitu memulihkan ekonomi dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Namun, beban tanggungjawab itu semakin terasa berat apabila beliau menerima kecaman hebat selepas keputusan kerajaan menarik balik subsidi diesel. Rakyat marah dan kecewa, menyatakan ketidakpuasan hati mereka melalui pelbagai saluran. Tambahan pula, isu pendaftaran PADAT juga mendapat reaksi negatif. Ramai yang mengadu tentang kesukaran dan kerenah birokrasi yang terlibat dalam pendaftaran tersebut.

Di tengah-tengah tekanan itu, lelaki berkenaan masih teringat insiden yang berlaku baru-baru ini. Ketika ghairah berceramah di atas pentas, terkeluar perkataan 'bahlul' dan 'bodoh' dari mulutnya. Sungguh, dia tidak sengaja. Dua perkataan yang kurang sopan itu terluah dari mulutnya kerana terlalu geram dengan mulut-mulut gatal yang sering bertanya tentang formulanya.

Tiba-tiba, pintu pejabatnya diketuk. Seorang pegawai muda masuk dengan membawa secawan kopi.

"Tuan Tongso, minum dulu kopi ni. Nampak sangat penat," ujar pegawai itu dengan nada prihatin.

Tongso tersenyum lemah, "Terima kasih, Ismet Ulam Petai. Saya memang perlukan ini."

Dia mengambil cawan kopi itu dan menghirupnya perlahan. Keheningan malam menemani mereka, hanya diseling oleh bunyi rintik hujan di luar. Setelah beberapa saat, Tongso membuka mulut.

"Ismet Ulam Petai, adakah kita benar-benar akan berjaya? Kadang-kadang saya rasa seperti berjuang sendirian dalam gelap."

Pegawai muda itu duduk di hadapannya, matanya penuh dengan keyakinan. "Tuan Tongso, saya percaya dengan usaha kita. Setiap usaha dan formula Tuan Tongso adalah untuk kebaikan negara. Kita semua di sini menyokong Tuan Tongso."

Tongso terdiam. Kata-kata Ismet Ulam Petai menyentuh hatinya, memberi sedikit harapan dalam kekelamannya. Walaupun Ismet Ulam Petai berkata demikian dengan harapan Tongso akan menyambung kontrak perkhidmatannya yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi. 

Tongso memandang ke arah cawan kopi yang masih separuh penuh, seakan melihat refleksi dirinya yang tidak mahu mengalah walaupun berdepan kecaman yang maha dahsyat.

"Baiklah, Ismet Ulam Petai. Mari kita teruskan perjuangan ini," kata Tongso akhirnya. "Masih banyak kerja yang perlu diselesaikan dan formula yang mesti dibuktikan. Semua bahlul itu perlu diajar!"

Dengan semangat baharu, Tongso kembali fokus pada kerja-kerjanya. Malam semakin larut, namun cahaya harapan masih menyala di pejabat kecil itu. Tongso tahu, perjalanan ini masih panjang dan penuh rintangan, tetapi dia tidak akan menyerah.

Dia terdiam sejenak, merenung masa depan. Dengan semangat dan dedikasi, dia bertekad untuk membawa perubahan. Hujan di luar semakin reda, seakan memberi isyarat bahawa badai pasti akan berlalu dan mentari akan kembali menyinari bumi.

Tongso, seorang raja formula yang tidak pernah lelah berjuang, kembali tenggelam dalam kerjanya. Dia tahu, setiap titik peluh dan usaha adalah demi negara tercinta. Dalam keheningan malam, dia terus bekerja, membawa harapan dan impian seluruh rakyat di pundaknya.

Bagaimana pula dengan bahlul-bahlul itu? "Ahh... persetankan mereka," getus Tongso dalam hatinya. "Mereka bukan mengundi di kawasan aku pun."

Malam semakin larut namun Tongso tetap bertungkus-lumus merangka formula-formula baharu demi negara tercinta. 




Catat Ulasan

0 Ulasan