UIAM nafi tidak mampu bayar hutang


Merujuk kepada liputan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berada dalam keadaan tidak berupaya membayar balik hutang. UIAM ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan. 

Sebagai sebuah universiti awam, UIAM tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan untuk tujuan perbelanjaan operasi. Sehubungan itu, pengurusan UIAM ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil sehingga hari ini.

Perkara ini dapat dibuktikan melalui hasil dapatan audit penyata kewangan oleh juruaudit bebas, KPMG Malaysia, yang telah memberi penarafan sijil bersih kepada UIAM untuk tiga tahun berturut-turut (2021 - 2023).

Kedudukan kewangan UIAM setakat 31 Disember 2022 menunjukkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta, yang disebabkan oleh peruntukan besar digunakan untuk pelan manfaat persaraan bagi kakitangan UIAM yang akan bersara wajib, selaras dengan kehendak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS). Pada tahun kewangan berakhir 2022, sejumlah RM308.59 juta telah direkodkan sebagai komitmen keseluruhan bagi pelan manfaat persaraan tersebut.

Pada awal pelaksanaan pembayaran ganjaran manfaat persaraan, pihak pengurusan berhasrat untuk tidak bergantung kepada geran khas kerajaan dan menggunakan sumber dalaman universiti bagi bayaran ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib. 




Sehingga tahun 2023, hampir RM100 juta telah dibayar kepada kakitangan UIAM yang bersara menggunakan sumber dalaman universiti. Sebagai makluman, universiti awam lain dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen). 

Namun, dengan peningkatan kadar inflasi, kenaikan gaji berperingkat sejak tahun 2012, serta pola umur kakitangan yang semakin meningkat (Persaraan), komitmen bayaran tahunan juga turut meningkat. 

Universiti telah membuat kajian dan mendapati sumber dalaman tidak lagi mencukupi untuk membiayai perbelanjaan ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib. Oleh itu, tindakan telah diambil oleh pihak pengurusan dengan mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan tahunan. 

UIAM dijangka akan membelanjakan purata RM24 juta mulai tahun kewangan 2024 dan jumlah ini dijangka meningkat selaras dengan pengumuman awal Y.A.B Perdana Menteri dalam usaha memperbaiki struktur gaji kakitangan awam yang baharu, yang bakal dilaksanakan pada penghujung tahun 2024.

Sebagai makluman UIAM ialah sebuah Universiti Awam yang beroperasi di bawah Akta Syarikat yang ditubuhkan 41 tahun lalu. UIAM sebagai Syarikat kerajaan Malaysia, sentiasa memastikan pematuhan kepada dasar dan keutamaan pendidikan negara.

                                                                              

Disediakan oleh: 

Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi 

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

6 Julai 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan