Video Darkside Pramugari beri gambaran negatif - NUFAM

 


Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) kesal dengan tayangan video berjudul 'Sisi Gelap Pramugari' yang dimuat naik melalui YouTube di mana ia telah memberi gambaran negatif terhadap profesion tersebut.

NUFAM berkata, pihaknya dimaklumkan baru-baru ini oleh beberapa pihak mengenai satu yang tular di sosial media itu beberapa minggu lalu di mana seorang wanita telah ditemuramah dan memberi gambaran negatif terhadap profesion pramugari penerbangan.

Menurutnya, semua itu dilakukan tanpa sebarang bukti atau saksi kepada keadaan tersebut. 

"Ini sama sekali menimbul banyak persepsi dari masyarakat umum terhadap golongan pekerja yang terdiri dari suri rumah, ibu kepada anak dan juga seorang isteri.

"Adakah produksi video ini hanya mahu memberi gambaran buruk terhadap golongan kru kabin ini? Sama sekali ia tidak memberi gambaran sebenar di dalam klip tersebut," tegasnya dalam kenyataan media.

NUFAM memberitahu, produksi juga harus mengambil langkah berhati-hati sebelum mengeluarkan video klip yang seumpama berat sebelah.

Katanya, produksi juga dianggap kurang matang dan hanya mempunyai motif untuk mengelirukan penonton.

"Video ini telah juga mendapat kecaman oleh ramai pihak terutamanya mereka yang bekerja dalam industri penerbangan.

"Video yang berdurasi selama 15 minit telah dimuat naik di YouTube dan telah menarik banyak komen dari pihak umum," katanya.

Sehubungan itu, NUFAM memandang serius atas kenyataan oleh wanita tersebut di mana beliau sendiri telah menceritakan tentang kerjaya gelap serta latar belakang seorang pekerja pramugari tanpa sebarang bukti kukuh. 

Katanya, sama ada wanita itu ialah seorang bekas pramugari atau tidak, ia tidak boleh dipastikan kerana wajah beliau telah sengaja dikaburkan dalam klip tersebut.

"NUFAM berpendapat kenyataan wanita tersebut telah memberi kesan negatif kepada kaum pekerja kru kabin serta menguris perasaan warga kru kabin secara menyeluruh.

"Sama ada cerita itu benar atau tidak, kenyataan dan gambaran yang diberikan oleh wanita tersebut telah memberi impak negatif terhadap golongan pekerja kru kabin wanita dan industri penerbangan negara kita," ujarnya.

NUFAM akan membuat laporan polis terhadap team produser dan pihak yang terbabit dalam produksi video tersebut dan besar kemungkinan tindakan sivil akan diambil terhadap mereka juga.

"NUFAM juga menganggap tindakan ini sebagai buli siber di mana video ini sama sekali telah mencemarkan integriti, maruah dan imej seseorang  pramugari," katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan