Wanita UMNO Pasir Salak desak MKT tarik balik penggantungan Tajuddin

 


Wanita UMNO Pasir Salak hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Kerja Tertinggi UMNO supaya menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Usul itu diluluskan pada mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, hari ini.

Perwakilan Wanita UMNO membahaskan usul berkenaan sebelum membuat keputusan meluluskannya secara sebulat suara.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Seri Rahayu Tajuddin berkata usul berkenaan adalah manifestasi sokongan ahli Wanita UMNO akar umbi kepada Tajuddin.

"Dulu beliau kena ISA dan kini digantung, namun beliau tidak pernah berganjak. Kesetiaan tidak boleh dijual beli, jasa beliau sangat banyak.

"Wanita UMNO Pasir Salak memohon agar ditarik balik penggantungan keahlian ayahanda Datuk Seri Tajuddin.

"Kami Wanita UMNO Pasir Salak mengharai sokongan ini," katanya ketika berucap.

Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak dirasmikan Oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Tajuddin yang juga bekas Ketua Bahagian Pasir Salak turut hadir pada majlis yang berlangsung pagi tadi.

Mengulas lanjut, Rahayu berkata, penarikan penggantungan keahlian Tajuddin akan memperkukuhkan UMNO Pasir Salak.

Katanya, keputusan itu pastinya akan memberi kelegaan kepada penyokong setia Tajuddin di Pasir Salak.




Catat Ulasan

0 Ulasan