Lim Kit Siang cetus ilham tubuh Bersatu?


Ahli MKT UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, ilham penubuhan Bersatu dicetuskan oleh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Beliau memberitahu, Kit Siang memberi ilham kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ditubuhkan parti baharu seperti UMNO.

"Maka lahirlah Bersatu. Itu dosa besar Tun M dan Muhyiddin. 

"Tidak perlu mereka main isu UMDAP. Dosa 2M-2.0 lagi berat. Memecahbelahkan orang Melayu," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Puad memberitahu, mujurlah Bersatu bukan sahaja gagal membunuh UMNO malah gagal menarik sokongan orang Melayu.

Atas sebab itu, menurut beliau langkah UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan adalah tepat. 

"Demi maslahat Melayu dan Islam," jelasnya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Mohd Puad berkata, PAS merupakan satu-satunya parti di dunia yang mewajibkan ahlinya keluar parti untuk melompat ke parti lain. 

"Kemudian dipaksa buat sumpah laknat supaya tidak melompat parti selepas menang.

"Ini fatwa baru Pas dalam politik. İni bukan tebuk atap tetapi pecah pintu depan. 

"Alasannya Bersatu kurang anak lelaki. Kena ambil anak tiri dari PAS," ujarnya.

Beliau menambah, Bersatu kurang anak lelaki kerana parti itu telah menjadi mandul. 

"Kena curi anak tiri lelaki dari parti lain termasuk dari UMNO," katanya.



Catat Ulasan

0 Ulasan