Ambil tindakan tegas provokasi turun Jalur Gemilang

 


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penularan video berkaitan kejadian menurunkan Jalur Gemilang dengan menggantikan bendera Sabah dan Sarawak yang berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu adalah sangat membimbangkan. 

Menurut beliau, insiden itu boleh menggugat perpaduan rakyat Malaysia yang hidup harmoni antara satu sama lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, insiden provokasi yang kononnya sebagai simbolik penamatan 'penjajahan' Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta usaha menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah republik boleh mencetuskan ketidakselesaan dan keharmonian antara rakyat di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

"Ini bukanlah kali pertama gerakan dan desakan seumpama ini berlaku. Oleh itu, saya bimbang semakin lambat tindakan tegas diambil, kesalahan ini mampu meluaskan pengaruh pemikiran bahawa Sabah dan Sarawak ini dijajah oleh Semenanjung seterusnya membawa kepada desakan untuk keluar dari Persekutuan Malaysia. 

"Justeru, saya menggesa Kerajaan bertindak pantas dan tegas tehadap mana-mana warga negara yang berkempen dan berusaha bagi mempromosi gerakan mendesak Sabah dan Sarawak untuk keluar dari Persekutuan Malaysia," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau turut mengingatkan agar jangan mengambil mudah tindakan provokasi tersebut walaupun sesetengah pihak menganggap perkara itu tidak serius dan agak ‘mustahil’ untuk berlaku. 

Tuan Ibrahim berkata, walaupun kumpulan pendesak tersebut tidak bertapak di negara ini, namun pastinya doktrin itu ditanam oleh rakyat Malaysia sendiri atau yang mempunyai hubung kait dengan Malaysia.

"Tindakan pantas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sangat baik. 

"Namun, kita masih menunggu perkembangan siasatan tersebut. Kerajaan harus segera dan tegas dalam mengambil tindakan seperti mana yang dilakukan terhadap kumpulan Al-Maunah yang telah didakwa kerana menentang Yang di-Pertuan Agong. 

"Akhir sekali, saya sekali lagi berharap agar perhatian serius diberi terhadap isu ini bagi menghilangkan kegusaran rakyat terhadap isu ini," katanya.


JIWA MERDEKA 




Catat Ulasan

0 Ulasan