UMNO tidak harus sombong dan bongkak selepas menang PRK DUN Mahkota

Gambar: FB Zahid Hamidi

 

Kemenangan besar pada PRK DUN Mahkota baru-baru ini tidak seharusnya menjadikan UMNO angkuh dan bongkak.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mandat yang diberikan rakyat hendaklah dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan amanah.

"Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum," katanya,

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

Asyraf Wajdi menambah, mesyuarat itu juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama dalam kalangan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan sebagai manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Selain itu, katanya, ahli-ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh akan datang.


JIWA MERDEKA 


Catat Ulasan

0 Ulasan