Bising saja lebih! Mana belanjawan alternatif pembangkang?

 

Ammar Atan

Angkatan Muda Harapan amat kecewa apabila pembangkang masih gagal untuk mengemukakan belanjawan alternatif atau sebarang cadangan solusi yang lebih baik dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, kegagalan mereka bukan sahaja memperlihatkan kelemahan dalam memahami permasalahan negara, malah turut disertai dengan prestasi kehadiran yang bermasalah dalam sidang Parlimen. 

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah berkata, ketidakhadiran mereka dalam sidang-sidang penting memperlihatkan sikap tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

"Perbezaan ketara dapat dilihat apabila membandingkan keadaan semasa dengan ketika Pakatan Harapan (PH) berperanan sebagai pembangkang dahulu. 

"PH tidak hanya memberi kritikan, tetapi turut menawarkan polisi-polisi yang jelas dan cadangan alternatif yang konkrit, bersedia untuk memimpin bila-bila masa sekiranya diberi mandat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ammar berkata, pembangkang harus lebih bertanggungjawab dalam menjalankan peranan mereka. 

Beliau memberitahu, kehadiran yang lemah dan sekadar berteriak tanpa cadangan konkrit tidak membawa manfaat kepada rakyat. 

"Mereka perlu tampil dengan solusi yang lebih baik dan relevan demi memajukan negara. 

"Setakat ini, apa yang kita saksikan hanyalah kegagalan demi kegagalan mereka untuk menawarkan alternatif yang lebih baik," jelasnya.


JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan