Lompatan solo adik Zahid langsung tak jejaskan UMNO

 

Abdul Hakim Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki. Gambar: Facebook

Tiba-tiba dunia politik tanah air dikejutkan dengan berita adik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai PAS. Maka kecohlah tentera siber PAS dan PN menguar-uarkan tentang 'kejayaan' itu.

Apakah kesan tindakan Datuk Abdul Hakim Hamidi itu terhadap UMNO? Adakah ia akan menyebabkan parti yang kini bersekutu dengan DAP, PKR dan Amanah dalam Kerajaan Perpaduan itu akan tumbang?

Walaupun beliau adik kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Abdul Hakim bukan sosok yang berpengaruh dalam gelanggang politik tanah air.

Malah, boleh dikatakan hampir semua daripada lebih 3 juta ahli UMNO sebelum ini tidak mengenali langsung siapa beliau. 

Mungkin, PAS dan PN ingin menjulang Abdul Hakim sebagai simbolik 'kemenangan moral' bagi mereka kerana telah berjaya menarik adik pemimpin nombor satu UMNO untuk melompat parti.

Walhal, langkah itu tidak menyebabkan ahli-ahli UMNO melompat menyertai PAS atau Bersatu secara besar-besaran sehingga boleh menyebabkan UMNO lumpuh.

Nama-nama besar bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim pun tidak berjaya meyakinkan ahli-ahli UMNO untuk mengikut mereka.

Majoriti ahli UMNO masih lagi setia terhadap parti dan memberi peluang kepada pucuk pimpinan untuk memperkasakan parti agar mampu bergerak solo dan kembali membawa BN menjadi kerajaan selepas PRU16.

Rata-rata mereka mengambil sikap tunggu dan lihat. Mereka mahu memastikan apakah pucuk pimpinan  UMNO mampu menjadikan parti gagah kembali seperti dahulu.

Penyokong setia Datuk Seri Najib Razak juga masih berharap pucuk pimpinan UMNO mengotakan janji mereka berhubung pembebasan pemimpin yang mereka kasihi itu. Sekurang-kurangnya, titah addendum perintah tahanan rumah terhadap Bossku dapat dilaksanakan.

Begitu juga dengan kesungguhan pucuk pimpinan UMNO untuk mengawal mulut-mulut tanpa insurans dalam DAP yang sentiasa menggores sensitiviti orang Melayu.

Faktor-faktor tersebut sebenarnya yang menjadi kayu ukur bagi akar umbi UMNO untuk memutuskan sama ada mereka akan memberi undi kepada BN dan Kerajaan Perpaduan pada PRU16. 

Bukannya lompatan solo oleh Abdul Hakim Hamidi. - TUKANG TULIS

JIWA MERDEKA 


Catat Ulasan

0 Ulasan