Sikap toksik pemimpin DAP boleh runtuhkan Kerajaan Perpaduan

 


Sikap DAP yang toksik terhadap UMNO bukan sahaja menjengkelkan, malah boleh menjejaskan kesepaduan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kritikan dan kecaman dilemparkan terhadap UMNO oleh pemimpin-pemimpin DAP seperti Teresa Kok, Liew Chin Tong, Datuk Chan Foong Hin dan Dr Boo Cheng Hau.

Teresa tidak berpuas hati apabila pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Saleh lantang bersuara membantah kritikan Naib Pengerusi DAP itu terhadap sijil halal yang dikeluarkan JAKIM.

Malah, Teresa boleh mengugut untuk memfailkan saman terhadap Dr Akmal sedangkan beliau yang mula-mula mencari pasal dahulu.

Chin Tong pula cuba jadi jaguh menegakkan benang basah dengan menyalahkan Dr Akmal sebagai punca ramai pengudi Cina tidak keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota baru-baru ini.

Selain itu, Foong Hin yang juga AJK DAP Sabah menyatakan sukar bagi partinya untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRN Sabah disebabkan gelaran 'nyonya tua' yang diberikan oleh Dr Akmal kepada Teresa.

Eh, mungkin beliau terlupa siapakah yang mula-mula bermulut celopar menyentuh urusan agama Islam sehingga menyebabkan Pemuda UMNO bangkit bersuara.

Dr Cheng Hau juga tidak kurang celoparnya apabila menyamakan UMNO dan BN seperti pesakit kencing manis dan perlu diselamatkan oleh PH.

Entah apa yang merasuk mereka semua sehingga tergamak bersikap toksik terhadap sekutu sendiri dalam Kerajaan Perpaduan.

Apakah ada pihak yang berasa terancam berikutan kebangkitan UMNO yang amat memberangsangkan seperti yang ditunjukkan melalui keputusan PRK DUN Mahkota dan sebelum itu di DUN Nenggiri?

Sedangkan PH mengalami kekalahan yang memalukan pada PRK DUN Sungai Bakap walaupun Pulau Pinang ditadbir oleh DAP.

DAP tidak sepatutnya bimbang kerana UMNO yang kuat merupakan satu kelebihan bagi Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi PRU16 dan beberapa PRN sebelum itu.

Anwar perlu melakukan sesuatu yang tegas bagi menangani sikap toksik pemimpin-pemimpin DAP yang menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.

DAP pernah bersikap biadab terhadap PAS ketika mereka bersama dalam Pakatan Rakyat, akibatnya PAS keluar dari pakatan itu.

Jangan biarkan sejarah yang sama berulang dalam Kerajaan Perpaduan yang ikatan antara parti-parti di bawahnya masih lagi rapuh dan mudah bergoyang apabila dilanda badai toksik yang disembur oleh pemimpin-pemimpin DAP.


JIWA MERDEKA

TAWARAN HEBAT!!!




Catat Ulasan

0 Ulasan