SSPA beri manfaat besar kepada penjawat awam - CUEPACS

 

CUEPACS telah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mesyuarat Khas Majlis Kongres CUEPACS pada 20 Oktober 2024 bagi membentang dan membincangkan mengenai Pekeliling Sistem SSPA yang akan dilaksanakan mulai 1 Disember.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendapat, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menawarkan pelbagai kelebihan yang akan memberi manfaat besar kepada semua penjawat awam. 

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, antara kelebihan yang jelas akan diterima oleh penjawat awam adalah peningkatan pendapatan dan faedah. 

Menurut beliau, SSPA memberi peluang kepada setiap penjawat awam untuk menikmati kenaikan gaji yang lebih kompetitif dan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. 

"Penambahbaikan struktur gaji ini akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna bagi setiap penjawat awam sekali gus membantu mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. 

"Selain daripada itu penjawat awam juga akan menerima peluang kenaikan pangkat yang lebih adil melalui pelaksanaan SSPA," katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Adnan memberitahu, proses kenaikan pangkat akan menjadi lebih telus dan berasaskan prestasi serta meritokrasi sekali gus memastikan setiap usaha penjawat awam dihargai dengan sewajarnya. 

Beliau menambah, dengan penekanan kepada prestasi dan kualiti kerja, penjawat awam berpeluang untuk meningkatkan kemampuan diri dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam kerjaya.

Adnan berkata, CUEPACS melihat SSPA turut memberi penekanan kepada kesejahteraan penjawat awam selepas bersara. 

Menurut beliau, penjawat awam yang berstatus tetap akan terus menikmati faedah pencen seperti biasa kerana pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan faedah pencen pegawai awam yang berstatus tetap. 

"Formula yang digunakan dalam pengiraan pencen, ganjaran dan gantian cuti rehat masih sama seperti yang diperuntukkan dalam Peratutan-Peraturan Pencen 1980. 

"CUEPACS percaya ketika ini semua pengurus sumber manusia setiap jabatan kerajaan telah mengadakan sesi libat urus mengenai Pekeliling SSPA bersama warga kerja masing-masing," jelasnya. 

Adnan berkata, CUEPACS berharap semua jabatan kerajaan memberi ruang yang sepenuhnya kepada kakitangan masing-masing untuk mengemukakan persoalan mengenai opsyen SSPA selain menyalurkan maklumat yang jelas dan tepat.

Sehubungan itu, katanya, CUEPACS menyeru kepada semua penjawat awam untuk menandatangani opsyen SSPA mengikut tempoh yang ditetapkan sebelum 30 November ini. 

Beliau memberitahu, Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 bagaikan kerangka rumah yang lama dan sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara. 

"Setelah bertahun-tahun kita semua berjuang untuk mendapatkan skim saraan baharu yang lebih adil dan kompetitif, ini adalah peluang dan masa yang terbaik untuk semua penjawat awam menikmatinya," katanya. 


JIWA MERDEKA 


Catat Ulasan

0 Ulasan