Kerajaan Madani jangan ambil mudah ancaman kedaulatan wilayah maritim negara

 



Berikut adalah kenyataan penuh Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu kehadiran aset ketenteraan China di Laut China Selatan, hari ini:

1. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan berkenaan kenyataan semberono, cuai dan tidak bertanggung jawab daripada YB Alor Gajah yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Kerajaan MADANI sewaktu sesi jawab lisan soalan no. 1 daripada YB Jelebu yang bertanyakan berkenaan situasi keselamatan di Zon Maritim Malaysia (ZMM) susulan insiden pencerobohan kapal frigat Tentera Laut China dan juga pasukan pengawal pantai @ Chinese Coast Guard di Laut China Selatan.

2. Menerusi jawapan lisan yang dibuat oleh YB Alor Gajah, beliau telah menyatakan bahawa kawasan Laut China Selatan sekarang berada dalam keadaan ‘selamat, terkawal dan terbuka’. Selain daripada itu, beliau secara tidak langsung telah merendahkan darjah ancaman keselamatan di ZMM terutama di kawasan Luconia Shoals atau Beting Patinggi Ali (BPA) dengan menyatakan bahawa kehadiran kapal milik Republik Rakyat China (RRC) di kawasan ini hanya terhad dari jenis kapal pasukan pengawal pantai @ Chinese Coast Guard dan bukan terdiri daripada kapal Tentera Laut Pembebasan Rakyat China @ PLAN.

3. Ini adalah satu kenyataan yang salah sama sekali dan amat berbahaya, mengambil kira kehadiran kapal-kapal dari RRC di ZMM bukan hanya terhad kepada pasukan pengawal pantai, malah turut terdiri daripada kapal PLAN serta China Maritime Safety Agency (CMSA) termasuk pasukan para-militer yang terdiri dari kalangan nelayan-nelayan RRC yang menangkap ikan secara haram di ZMM. Kehadiran kapal-kapal China ini juga bersifat agresif dan ini dapat dibuktikan dengan insiden West Capella pada tahun 2020 di mana kapal penyelidik dari PETRONAS (West Capella) yang membuat penyelidikan laut dalam (seismic survey) di ZMM telah diganggu secara agresif selama berhari-hari oleh kapal-kapal pengawal pantai dari China yang juga di sokong secara bersepadu oleh kapal PLAN, CMSA dan kapal nelayan para-militer China termasuk juga Tentera Udara RRC @ PLAF.

4. Kenyataan cuai dan tidak betul daripada YB Alor Gajah di Dewan Rakyat pada hari ini telah membuktikan bahawa strategi jangka masa panjang (long game plan) yang dilaksanakan oleh RRC – ‘grey zone strategy’ sejak 2009 dengan meletakkan aset mereka sejauh Luconia Shoals (hanya 84 batu nautika dari pesisir Pantai Sarawak) secara sebilang masa untuk menguatkan tuntutan berdasarkan konteks sejarah rekaan mereka di dalam garis ‘imaginary nine-dash line’ selama ini sudah membuahkan hasil apabila YB Alor Gajah sendiri tanpa segan silu dan tanpa menyemak kebenaran fakta telah menyebut di dalam Dewan Rakyat bahawa kehadiran kapal pengawal pantai dari China ini tidak bersifat agresif malah kehadiran mereka di ZMM bersifat aman serta Malaysia tidak perlu khuatir terhadap tindakan ini.

5. Tidakkah YB Alor Gajah sedar bahawa beliau selaku Timbalan Menteri Pertahanan hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan serta perlu sentiasa mengambil maklum fakta ancaman terkini yang dihadapi oleh negara berkaitan kehadiran pasukan pengawal pantai dan juga tentera laut RRC di ZMM kerana ancaman ini adalah bersifat benar (real) dan bukan polemik semata-mata? Tidakkah beliau selaku Timbalan Menteri Pertahanan yang menjawat jawatan berkenaan sejak dua tahun lamanya sudah faham isu berkaitan Laut China Selatan dan faham strategi yang digunapakai oleh RRC sejak 2009 dengan mengatur gerak kapal-kapal China untuk hadir di kawasan BPA ini bagi tujuan membuat tuntutan agresif (assertive claim) dengan ‘berhenti dan menurunkan sauh’ sebagai salah satu tindakan ‘cementing’ kehadiran mereka di kawasan yang kononnya wilayah laut mereka?

6. Tidakkah juga YB Alor Gajah sedar bahawa fungsi utama mana-mana kapal yang dinamakan sebagai pasukan pengawal pantai milik China ini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang maritim negara mereka sebagai salah satu justifikasi bahawa ‘exclusivitae’ negara berkenaan terpakai dan dilaksanakan dalam ZMM? Tindakan kehadiran kapal CCG di dalam ZMM adalah salah sama sekali serta mencabar integriti kedaulatan dan hak kedaulatan Malaysia! Tindakan ini juga merupakan satu kesalahan yang cukup besar besar di bawah Undang-Undang Laut Antarabangsa dan juga United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS 1982).

7. Saya berpandangan YB Alor Gajah perlu memperbetulkan kembali kenyataan beliau di Dewan Rakyat pada hari ini mengambil kira pihak RRC sentiasa memerhatikan secara dekat kesilapan kenyataan pegawai kanan Kerajaan Malaysia berkaitan isu Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada strategi tindakan justifikasi mereka untuk membuat ‘interpretasi kreatif’ bahawa Kerajaan Malaysia tiada halangan terhadap kehadiran kapal-kapal RRC di dalam ZMM selagi ianya tidak bersifat agresif.

8. Melalui pemerhatian saya ketika sesi jawab lisan berkenaan, bukan sahaja YB Alor Gajah gagal menjawab soalan penting yang dikemukakan oleh YB Jelebu, malah beliau bertindak tidak menjawab soalan tambahan daripada YB Jelebu (tindakan Malaysia membincangkan masalah pencerobohan oleh China di Laut China Selatan dengan negara ASEAN) dan juga soalan tambahan ketiga dari YB Tanah Merah (jumlah insiden pencerobohan dan jumlah nota bantahan diplomatik yang dicatatkan pada tahun 2024). Saya percaya tindakan YB Alor Gajah mengaggap isu pencerobohan Laut China Selatan oleh RRC sebagai satu perkara remeh hanyalah strategi mahu meredakan suhu kemarahan rakyat Malaysia terhadap barisan Menteri-menteri MADANI yang mempertahankan tindakan Kerajaan Pulau Pinang membuat sambutan besar-besaran kepada kelasi-kelasi kapal tentera laut RRC @ PLAN pada 8 Oktober 2024 yang lalu.

9. Kenyataan YB Alor Gajah adalah tidak sensitif kepada semangat anggota tentera kita yang sentiasa berusaha menjaga perbatasan sempadan negara. Pada minggu ini juga iaitu kurang dari dua minggu selepas sambutan besar-besaran yang dibuat oleh Kerajaan Pulau Pinang ke atas kelasi-kelas kapal, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa mengerahkan Kapal KD Selangor untuk melaksanakan misi membayangi kehadiran kapal pengawal pantai China di ZMM di BPA. Saya mencadangkan agar YB Alor Gajah untuk turun meninjau di lapangan bagi melihat sendiri kehadiran CCG atau PLAN di dalam perairan Malaysia agar beliau insaf dan membuka mata bahawa ancaman yang dihadapi dari RRC ini bukan bersifat polemik tapi realiti yang benar.

JIWA MERDEKA 

Catat Ulasan

0 Ulasan