Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh hari ini:
Pemuda UMNO Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Kerajaan menyelaraskan waktu bekerja sektor awam daripada 42 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, bedasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini.
2. Keputusan ini akan memberi kesan kepada kakitangan yang bekerja secara syif antaranya yang bekerja di sektor keselamatan dan kesihatan. Ia melibatkan ribuan kakitangan yang terlibat diseluruh tanah air, mereka inilah yang kita gelarkan sebagai "frontliner" kepada negara dan rakyat Malaysia
3. Sebagai frontliner yang bertugas menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat, mereka sudah sedia berdepan dengan cabaran yang berat. Mereka bekerja tanpa henti, termasuk pada waktu malam, hujung minggu, dan cuti umum, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
4. Keputusan untuk meningkatkan waktu bekerja ini bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan mereka, malah berisiko menambah tekanan kepada mereka yang telah pun terdedah kepada risiko burnout.
5. Keputusan ini merupakan ketidakadilan kepada pekerja syif. Cadangan ini dilihat tidak mengambil kira realiti pekerja secara syif yang berbeza daripada mereka yang bekerja dalam waktu pejabat biasa. Antaranya; waktu kerja tidak menentu,kehilangan cuti umum dan tekanan fizikal dan mental yang tinggi bedasarkan perkhidmatan diperlukan.
6. Oleh demikian, kami memohon Kerajaan dan agensi berkaitan untuk meneliti semula keputusan ini dengan mempertimbangkan agar :
• Kekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi pekerja yang bekerja secara syif serta memberi pampasan atau cuti gantian kepada kerja shift yang bertugas pada cuti umum.
• Mempertimbangkan pengenalan polisi kiraan jam setara bagi penjaga kebajikan penjawat awam yang bekerja secara syif. Polisi ini
dicadangkanuntuk memastikan setiap jam kerja selepas jam 5 petang dikira lebih daripada satu jam sebenar, contohnya sebagai 1 jam 20 minit. Ini mengambil kira bahawa waktu bekerja tersebut berada di luar waktu kerja biasa, yang mana bukanlah waktu ideal untuk manusia bekerja. Melalui pendekatan ini, penjawat awam yang bekerja secara shift dapat mencapai jumlah jam kerja yang setara dengan penjawat awam yang bekerja pada waktu biasa.
• Dengan mengambil kira jumlah hari bekerja selama 5 hari seminggu, setiap penjawat awam yang bekerja secara syif akan mempunyai jumlah waktu bekerja setara 45 jam seminggu, termasuk 5 jam rehat tengahari (1 jam sehari x 5 hari). Polisi ini bukan sahaja dapat memastikan kesaksamaan tetapi juga menghargai pengorbanan penjawat awam yang bekerja di luar waktu bekerja normal.
• Libatkan wakil pekerja dalam membuat keputusan dasar yang melibatkan kebajikan mereka dan mengutamakan kesejahteraan pekerja untuk meningkatkan produktiviti mereka.
7. Pada hemat Pemuda, kebajikan pekerja sektor awam, khususnya terlibat dengan perubahan ini perlu dijaga. Dalam usaha nembangunkan negara, kebajikan dan produktiviti mereka yang membanting tulang di sektor awam mestilah diutamakan.
8. Oleh demikian, Pemuda UMNO Malaysia akan terus memperjuangkan nasib pekerja sektor awam dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan. Kami juga akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada pihak berkaitan untuk menegaskan pendirian ini.
0 Ulasan