Berikut adalah kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat hari ini:
CUEPACS menyambut baik dan menyokong langkah Kerajaan Negeri Johor yang bercadang mahu melaksanakan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah.
Inisiatif Kerajaan Negeri Johor untuk meneliti cadangan pelaksanaan memendekkan waktu bekerja itu sebenarnya selari dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam terutama dalam memperkasakan perkhidmatan digital.
Langkah memendekkan waktu bekerja bukanlah suatu perkara yang patut dilihat daripada sudut yang negatif kerana ia sebenarnya telah pun dibuat sebelum ini.
Untuk rekod pada pada 1 Januari 2023 kerajaan melalui Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) telah menetapkan tempoh waktu bekerja dikurangkan kepada 45 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu sebelum itu.
Pengurangan waktu bekerja itu sedikit pun tidak menjejaskan produktiviti di semua sektor pekerjaan termasuklah sektor awam kerana pelbagai langkah telah diambil dan diselaraskan untuk memastikan kualiti produktiviti terus ditingkatkan.
Menerusi proses dan sistem teratur yang dilaksanakan kelak, CUEPACS yakin waktu bekerja yang pendek benar-benar akan membawa kepada peningkatan produktiviti kerana para pekerja berasa bersemangat dan dihargai.
Kebanyakan negara-negara maju telah pun memendekkan waktu bekerja dan langkah tersebut langsung tidak menjejaskan sedikit pun produktiviti sumber manusia di negara berkenaan.
Iceland antara kayu pengukur kejayaan kepada pengurangan waktu kerja iaitu daripada purata 40 jam kepada 35 jam seminggu.
Pekerja dapat menikmati hidup yang lebih sihat, bekerja tanpa tekanan dan seterusnya diterjemahkan dengan meningkatkan produktiviti pekerjaan.
Usaha ini secara tidak langsung dapat mencapai keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan pekerja di samping tidak menjejaskan produktiviti yang ditetapkan majikan.
CUEPACS yakin melalui langkah pendigitalan kerajaan di samping agenda mereformasi perkhidmatan awam melalui aspirasi Malaysia Madani tidak akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Semua pihak perlu terbuka kepada langkah penambahbaikan kualiti kehidupan pekerja untuk mereka menikmati keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan.
Dalam pelaksanaan mengurangkan jam bekerja ini majikan seharusnya telah bersedia dalam memastikan pelaksanaannya tidak memberi impak yang sebaliknya.
CUEPACS juga yakin kerajaan tidak akan melaksanakan perkara ini tanpa membuat kajian atau penelitian dengan lebih lanjut.
Kerajaan telah memulakan beberapa strategi untuk meningkatkan kualiti sektor awam dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, mempercepat pendigitalan dan memberi penekanan kepada tadbir urus yang baik.
CUEPACS yakin penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam apa jua keadaan sekali pun.
Ia sekali gus boleh menjadi sebagai pemangkin dalam mereformasikan perkhidmatan awam bersandarkan nilai-nilai yang kukuh buat penjawat awam selari dengan nilai M.A.L.A.Y.S.I.A dan H.E.M.A.T yang dicetus oleh KSN dan KPPA sebagai panduan kita bersama.
0 Ulasan