Amanah Johor minta MUDA pulangkan kerusi Parlimen Muar, DUN Puteri Wangsa


Parti Amanah Negara (Amanah) Johor meminta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk mengembalikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini mereka wakili kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang. 

Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Dzulkefly Ahmad menjelaskan, kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa wajar diberikan semula kepada PH memandangkan MUDA kini tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan. 

Menurut beliau, sebelum ini, kedua-dua kerusi berkenaan dikosongkan untuk diberikan laluan kepada MUDA kerana parti berkenaan merupakan rakan sekutu politik semasa Pilihan Raya Umum sebelum ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

“Maka, tuntutan ini berasas apabila pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan tidak mempunyai pilihan lain memandangkan PH tidak bertanding dan gelombang sokongan telah beralih kepada parti yang dikatakan mewakili PH iaitu MUDA bertanding di kerusi berkenaan. 

“Keputusan ini dibuat berdasarkan tindakan dan keputusan terbaharu parti MUDA yang mengambil langkah untuk tidak lagi bersama Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini dan kedua kerusi tersebut dianggap sebagai kerusi yang kosong untuk mana-mana parti boleh bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar menegaskan, demi mengekalkan keharmonian antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Johor, kedua-dua kerusi tersebut sepatutnya diserahkan kembali kepada PH. 

“Kami mencadangkan agar kedua-dua kerusi berkenaan sebaiknya diserahkan kepada gabungan PH dalam menentukan mana-mana parti dalam gabungan ini untuk bertanding di kerusi berkenaan. 

“Amanah Johor sekali lagi memaklumkan bahawa perkara ini perlulah diselesaikan dalam keadaan yang baik supaya mengelakkan pertindihan kerusi boleh berlaku pada PRU atau PRN akan datang yang mana ia akan menguntungkan pihak lawan,” tambahnya.

Pada 10 September tahun lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan memilih untuk berada di blok ketiga dalam Dewan Rakyat. 

Sehari selepas itu, ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dari MUDA turut diumumkan tidak lagi berada dalam blok PH di DUN Johor.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan