Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mendedahkan, beliau turut menjadi sasaran kecaman netizen gara-gara isu Hospital Bersalin Razif yang tular sejak semalam.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu, situasi tersebut berlaku kerana mereka menyangka beliau ialah pemilik hospital berkenaan.
Berikut adalah hantaran Facebook beliau semalam bagi menjelaskan perkara yang sebenar:
Mohon bertenang semua…
Bertalu-talu saya terima mesej dan comment di social media hari ni pakat duk maroh ke saya 😅. Saya bukan owner Hospital Bersalin Razif deh. Saloh orang ni.
Saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus je. Kalau nok booking untuk rawatan fisio dan rehabilitasi, boleh contact nombor 09-6669698 atau 010-3429865.
Hospital bersalin takdok lagi setakat ni. Mohon doa lah belaka moga suatu hari nanti boleh buka hospital pulok 🤲🏻
Sebelum ini, tular di media sosial apabila Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai jasad bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama dua minggu di sebuah hospital sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi bernama Muhammad Adham Mikail kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya sehinggakan terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendi anak syurga terbabit.
Semalam, Hospital Bersalin Razif tampil memberikan respons berhubung kes jasad bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama dua minggu gara-gara bapanya dikatakan tidak mampu membayar bil hospital.
Pengurusan Hospital Bersalin Razif menafikan dakwaan menahan jasad bayi tersebut, sebaliknya membenarkan keluarga pesakit menuntut dan menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran sebanyak RM2,480.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan telah memulakan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
0 Ulasan