Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi bayangan beliau tidak akan mengemukakan rayuan untuk kembali kepada UMNO dalam masa terdekat.
"Ketika ditemui pemberita di Parlimen tadi, saya ditanya adakah akan mengemukakan rayuan untuk kembali kepada UMNO?
"Jawapan saya - Buat apa nak merayu? Sampai sekarang pun saya tak tahu sebab digantung 🤷♂️," katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Penggantungan itu dinyatakan dalam surat rasmi daripada UMNO bertarikh 30 Januari 2022 yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pada 1 Disember lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaannya untuk kembali membuka ruang kepada bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin.
Ahmad Zahid berkata, jika Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman boleh diterima kembali ke UMNO, beliau tidak nampak sebarang masalah jika ahli MKT boleh melakukan keputusan sama terhadap bekas pemimpin UMNO lain yang juga dikenakan tindakan serupa.
0 Ulasan