SPRM mesti siasat dakwaan salah laku projek penerbitan bahan kreatif DBKL

 



Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh terhadap dakwaan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.  

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pendedahan yang telah mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus DBKL.  

“Kami menyambut baik kesediaan SPRM untuk membantu DBKL menyiasat dakwaan ini. Namun, siasatan mestilah telus, bebas daripada campur tangan politik, dan melibatkan semua individu yang dinamakan dalam pendedahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Beliau mengulas dakwaan bahawa projek penerbitan bahan kreatif yang melibatkan dana lebih RM10 juta telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat melalui kaedah rundingan terus. 

Pendedahan itu turut mengaitkan beberapa pegawai kanan DBKL serta Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Afdlin Shauki.

Jais menambah, MCW menuntut tiga langkah segera bagi menangani isu ini, iaitu siasatan bebas oleh SPRM tanpa pengaruh politik, penjelasan terbuka daripada pihak berkaitan, serta kajian semula sistem perolehan DBKL agar projek bernilai tinggi hanya dianugerahkan melalui tender terbuka.  

Beliau menegaskan, setiap dana awam perlu diurus dengan penuh amanah, lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup dan cadangan kenaikan cukai DBKL.  

“Kami akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya.


BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan