Pemuda PAS menegaskan bahawa kenyataan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang membantah garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis agama lain merupakan satu bentuk campur tangan yang tidak bertanggungjawab serta biadab terhadap kedudukan Islam di negara ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, garis panduan yang ditetapkan bukanlah satu sekatan, sebaliknya langkah perlu bagi memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.
"Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan segala keputusan berkaitan agama ini dibuat oleh pihak berautoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Siapa DAPSY untuk mempertikaikan hal ini? Apa hak mereka untuk campur tangan dalam urusan umat Islam?" katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Pemuda PAS tidak akan berdiam diri apabila ada pihak yang cuba menekan umat Islam dengan agenda liberal yang melampau.
"Kenyataan DAPSY bukan sahaja memperlihatkan keangkuhan mereka, malah seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam di negara ini.
"Apakah mereka mahu membuka ruang kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam?" katanya.
Menurutnya, umat Islam tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menafikan hak mereka dalam menjaga kesucian agama.
"Jika DAPSY benar-benar mahu berbicara soal keharmonian, mereka seharusnya menghormati garis panduan yang telah ditetapkan dan bukan sibuk mempertikaikan sesuatu yang bukan urusan mereka," tegasnya.
Pemuda PAS turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan Islam tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik.
"Cukup-cukuplah dengan sikap kurang ajar sebegini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam di Malaysia.
"Kami akan terus mempertahankan agama ini walau apa pun yang terjadi," tegasnya.
0 Ulasan