Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan tidak melayan panggilan telefon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pemimpin negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura berjaya berkomunikasi dengannya tanpa masalah.
Menurut penganalisis politik, Lim Sian See, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada Trump benar-benar enggan berbincang dengan Anwar kerana pendirian Malaysia dalam isu Palestin atau terdapat faktor lain yang belum didedahkan.
“Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz cuba menenangkan keadaan dengan menyatakan ini bukan isu besar.
"Beliau turut memberi alasan bahawa ketegasan Malaysia dalam mempertahankan Palestin mungkin menyebabkan Trump kurang gemar dengan Malaysia dan PMX.
“Tetapi peliknya, pemimpin negara lain yang juga lantang dalam isu Palestin seperti Indonesia, Türkiye, Jordan, Mesir dan Arab Saudi masih boleh berbual dengan Trump tanpa masalah,” katanya.
Beliau turut membandingkan situasi itu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang bukan sahaja tegas dalam isu Palestin malah menjadi antara pemimpin pertama melawat Gaza serta bertemu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
“Najib bukan sahaja dapat berbual dengan Trump tetapi turut dijemput ke Rumah Putih.
"Jadi, persoalannya, adakah Trump benar-benar mengelak PMX kerana isu Palestin, atau ada sebab lain yang kita tidak tahu?” katanya.
0 Ulasan