Penganut agama lain jangan campur urusan garis panduan untuk umat Islam - Akmal


Orang bukan Islam tidak perlu mencampuri urusan berkaitan garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri perayaan dan mengunjungi rumah ibadat agama lain, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.

Menurut beliau, garis panduan yang dirancang adalah sebagai sumber rujukan dan panduan bagi memastikan umat Islam memahami batas serta adab dalam situasi tersebut.

“Tidak semua orang tahu dan faham perkara ini. Sama seperti peraturan jalan raya, walaupun ramai yang mempunyai lesen memandu, masih ada yang tidak mengetahui undang-undang sedia ada, malah ada yang memandu dalam keadaan mabuk.

“Jadi, garis panduan ini bukan bermaksud mereka tidak tahu, tetapi ia sebagai peringatan. 

"Kadang-kadang kita terlupa, dan panduan ini membantu mengingatkan kita,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dr Akmal menyatakan, garis panduan tersebut hanya terpakai kepada umat Islam dan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam.

“Mudah sahaja, garis panduan ini untuk orang Islam sahaja. 

"Yang bukan Islam tidak perlu terlibat dan tidak perlu campur!” tegasnya.



Catat Ulasan

0 Ulasan