Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib, mempersoalkan tindakan kerajaan yang melarang sebarang perbincangan terbuka mengenai titah adendum berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, perkembangan di negara jiran seperti Singapura menunjukkan ketelusan dalam pelaksanaan hukuman terhadap bekas pemimpin, sedangkan di Malaysia, proses tersebut masih kabur dan tidak dibenarkan untuk dibahas.
“Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, dipindahkan ke skim tahanan rumah selepas menjalani hukuman penjara selama empat bulan.
"Ini mencerminkan bagaimana sistem keadilan di negara itu berfungsi secara telus tanpa sebarang keistimewaan politik,” katanya dalam kenyataan semalam.
Walau bagaimanapun, Nazifuddin menegaskan bahawa situasi di Malaysia sangat berbeza apabila titah adendum yang telah dikeluarkan bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah masih belum dilaksanakan, malah sebarang perbahasan mengenainya turut disekat di Parlimen.
“Lebih membimbangkan, bukan sahaja tahanan rumah tidak dilaksanakan, malah titah adendum itu sendiri tidak boleh dibincangkan secara terbuka.
"Di negara lain, hukuman tetap dilaksanakan dengan jelas, tetapi di sini, perbincangan mengenainya pun dihalang,” tambahnya.
Nazifuddin yang juga anak Najib merujuk kepada perkembangan di Amerika Syarikat dan Thailand, di mana isu berkaitan hukuman pemimpin boleh dibincangkan secara terbuka tanpa sekatan.
“Di Amerika Syarikat, Presiden Joe Biden tetap berdepan kritikan terbuka apabila anaknya, Hunter Biden, menerima pengampunan sebelum hukuman dilaksanakan.
"Begitu juga di Thailand, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra melalui proses permohonan rasmi untuk pengampunan diraja, yang jelas mengikut saluran sah dan difahami rakyat tanpa sebarang kekeliruan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mencontohi ketelusan sistem keadilan di negara-negara jiran dan memastikan prinsip keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi terhadap integriti.
0 Ulasan