Jika Menteri Kesihatan Madani tak mampu selesai masalah, jangan tambah lagi kerosakan

 

Gambar: FB Dzulkefly Ahmad

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, sekiranya Menteri Kesihatan Kerajaan Madani tidak mampu menyelesaikan masalah yang bermula sejak zaman PH1.0, sekurang-kurangnya beliau tidak sepatutnya menambah lagi kepada kerosakan sedia ada.  

Beliau berkata, sejak PRU14, sektor kesihatan awam berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir, dengan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan seolah-olah memburukkan lagi keadaan.  

"Dari isu lambakan doktor dan jururawat pada zaman Najib yang kononnya telah diselesaikan oleh Menteri Kesihatan PH1.0, keadaan kini semakin parah apabila individu yang sama kembali menerajui kementerian dalam kerajaan Madani," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Menurutnya, tindakan kerajaan kebelakangan ini memberi gambaran seolah-olah mahu menyebabkan lebih ramai staf perubatan meninggalkan perkhidmatan awam atau menghalang kemasukan doktor dan jururawat baharu.  

"Sebagai contoh, kerajaan menaikkan waktu kerja jururawat syif daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu bermula 1 Disember 2024. 

"Tidak lama selepas itu, cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang dianggap tidak adil kepada staf perubatan terpaksa dibatalkan selepas mendapat bantahan besar-besaran.  

Kini, katanya, timbul pula dasar pewartaan pakar perubatan yang hanya akan mempercepatkan penghijrahan tenaga kerja mahir.  

"Tempoh pewartaan pakar baharu dilanjutkan daripada enam bulan kepada 18 bulan, di mana sepanjang tempoh ini mereka akan menerima gaji setara dengan pegawai perubatan junior, walaupun menjalankan tugas pada tahap pakar.  

"Lebih memburukkan keadaan, tuntutan gaji tertunggak juga dimansuhkan," katanya.  

Sian See memberitahu, perubahan itu pasti menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan doktor, terutamanya mereka yang telah melaburkan masa dan usaha untuk mencapai status pakar.  

"Dengan gaji rendah dan tempoh percubaan lebih panjang, ramai akan mencari peluang di sektor swasta atau luar negara, sekali gus memperburuk masalah penghijrahan tenaga kerja mahir dalam sistem kesihatan awam," ujarnya.  

Kata beliau, Kementerian Kesihatan sendiri mengakui kekurangan 22,435 pakar menjelang 2030, namun kerajaan terus mengeluarkan dasar yang menolak mereka keluar dengan menafikan nilai sebenar sumbangan mereka.  

"Bulan lalu, seorang doktor kanan kerajaan menyifatkan sistem kesihatan awam sebagai sudah karam.  

"Jika trend ini berterusan, sistem kesihatan awam akan lumpuh sepenuhnya, beban kerja bagi doktor yang masih bertahan akan terus meningkat, dan rakyat akan menerima kesan langsung dengan perkhidmatan yang semakin merosot.  

"Mengapa kerajaan terus mengeluarkan satu demi satu dasar yang tidak masuk akal, seolah-olah bertujuan merosakkan sistem kesihatan negara secara sengaja?" katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan