Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan keputusan kerajaan Madani menganugerahkan kontrak projek LRT Pulau Pinang secara lantikan terus kepada syarikat milik swasta sepenuhnya.
Beliau berkata, projek tersebut pada asalnya adalah inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang yang diwujudkan pada 2016 dan dirancang untuk dibiayai secara persendirian oleh SRS Consortium dan sebagai balasan, syarikat itu diberikan hak penambakan tanah bagi projek Silicon Island.
“SRS Consortium dimiliki 60% oleh Gamuda, manakala dua syarikat lain, Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, masing-masing memiliki 20%. Ideal Property pula dikenali rapat dengan pemimpin kanan DAP,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Namun, Sian See berkata, selepas bertahun-tahun projek itu gagal dimulakan manakala dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa projek itu akan diluluskan tetapi mesti dibiayai secara persendirian dan ketika itu, anggaran kosnya adalah RM10 bilion.
“Tetapi hanya lima bulan kemudian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kerajaan persekutuan akan mengambil alih dan membiayai projek ini sepenuhnya.
"Kemudian, pada Januari 2025, Menteri Pengangkutan menyaksikan upacara pelantikan SRS Consortium oleh MRT Corp bagi pakej pertama bernilai RM8.3 bilion.
“Kini, kos keseluruhan projek telah melonjak kepada sekurang-kurangnya RM17.3 bilion, dengan pakej kedua sudah dibuka untuk tender, manakala pakej ketiga dijangka ditenderkan dalam beberapa bulan lagi.
"Namun, tiada rekod menunjukkan pakej pertama ini melalui proses tender terbuka,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa SRS Consortium masih diberikan projek itu secara langsung oleh kerajaan Persekutuan, sedangkan ia bukan lagi projek pembiayaan persendirian atau kerjasama awam-swasta.
“Jika projek ini 100% dibiayai kerajaan, ia sepatutnya melalui proses tender terbuka. Perdana Menteri sebelum ini berjanji tiada lagi penganugerahan terus bagi projek kerajaan.
“Tetapi jika benar bahawa SRS Consortium mendapat pakej pertama ini tanpa tender, kerajaan telah menyerahkan kontrak RM8.3 bilion kepada syarikat swasta yang sebahagiannya dimiliki taikun tempatan dan pemaju yang dikenali rapat dengan pemimpin DAP,” katanya.
Sian See menegaskan bahawa kerajaan perlu menjawab dua persoalan utama:
1. Adakah SRS Consortium benar-benar dilantik secara terus oleh kerajaan persekutuan melalui MRT Corp untuk pakej pertama bernilai RM8.3 bilion?
2. Bagaimana kos keseluruhan projek boleh melonjak daripada RM10 bilion pada Oktober 2023 kepada RM17.3 bilion dalam tempoh kurang daripada dua tahun?
“Jika janji ‘tiada lagi penganugerahan terus’ benar, di mana proses tender terbuka? Jika ia sekadar slogan, rakyat berhak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir projek ini,” katanya.
0 Ulasan