Nama sahaja Rahmah tapi harga jauh lebih mahal

 


Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan mengapa rakyat perlu membayar harga lebih tinggi untuk membeli tepung gandum melalui program Jualan Rahmah berbanding ketika skim subsidi tepung masih berkuat kuasa.  

Menurut beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini memperkenalkan skim subsidi tepung gandum kegunaan am dengan harga runcit RM1.35 sekilogram, yang masih wujud sehingga 2022 sebelum kerajaan Madani mengambil alih.  

“Namun, dalam Bajet 2024 Madani, skim ini dihapuskan secara rasmi, dan rakyat disuruh membeli tepung daripada Jualan Rahmah dengan alasan bajet subsidi tepung telah disalurkan ke program tersebut.  

“Tetapi apa yang berlaku? Harga tepung serbaguna di Jualan Rahmah pula RM2.10 bagi pek 850 gram, bersamaan RM2.47 sekilogram, iaitu 83% lebih mahal daripada harga asal RM1.35 sekilogram di bawah skim subsidi,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Sian See menegaskan bahawa langkah tersebut seolah-olah membebankan rakyat dengan kos yang lebih tinggi, walaupun dijenamakan sebagai program Rahmah.  

“Nama sahaja Rahmah, tetapi rakyat terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal. 

"Ini menimbulkan persoalan sama ada program ini benar-benar membantu rakyat atau sekadar mengalih subsidi kepada mekanisme lain yang kurang memberi manfaat,” katanya.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan