Penganalisis politik, Lim Sian See menyatakan bahawa bekalan beras tempatan sentiasa tersedia di pasaran ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Menurut beliau, dalam proses pengilangan, beras hancur terbentuk secara semula jadi akibat geseran dan tekanan mesin, malah tiada teknologi yang mampu menghasilkan 100% beras sempurna tanpa sebarang pecahan.
“Beras 10% dan 15% bukanlah beras rosak, tetapi hanya variasi berdasarkan kadar pecahan. Kerajaan Najib pada masa itu memahami bahawa membuang beras yang masih boleh dimakan adalah satu pembaziran besar,” katanya dalam hantaran Facebook semalam..
Jelas Sian See, pentadbiran Najib menawarkan beras 10% dan 15% pada harga lebih rendah kerana menyedari tidak semua rakyat mampu membeli beras premium 5%, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
“Beras ini hampir sama dari segi nutrisi, cuma teksturnya berbeza. Jika ada pilihan lebih murah, rakyat dapat berjimat, kantin sekolah boleh membeli lebih banyak, dan bantuan makanan boleh diperluaskan,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia masih bergantung pada import beras, dan membuang beras yang boleh dimakan hanya akan meningkatkan kos sara hidup serta menjejaskan keselamatan makanan negara.
“Najib tahu beras ini boleh dijual lebih murah kepada golongan memerlukan, digunakan dalam program subsidi atau dibiarkan rakyat memilih mengikut bajet masing-masing.
“Menjual beras 10% dan 15% pada harga lebih rendah adalah langkah pragmatis dan pro-rakyat.
"Tiada paksaan untuk membeli beras 15% pada harga RM18.00 atau beras 10% pada RM22.90 – malah hanya RM18.99 di Kedai Rakyat 1Malaysia,” katanya.
Sian See berkata, bekalan beras SST 5% pada harga RM26 ketika itu sentiasa mencukupi di pasaran tanpa sebarang isu kekurangan atau menyorok bekalan.
0 Ulasan