URA teruskan dasar penjajah pinggirkan Melayu, Bumiputera - Abdul Hadi

 


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) merupakan agenda yang boleh menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera dipinggirkan dari kawasan bandar yang berpotensi menjadi pusat kegiatan ekonomi yang lebih kukuh.  

Menurut beliau, pelaksanaan URA hanya meneruskan dasar yang dilakukan penjajah British dahulu dengan wajah pembaharuan, tetapi kesannya membawa kepada peminggiran masyarakat Melayu dan Bumiputera secara berperingkat.  

“Maka, apa yang dinamakan URA ini bertujuan melaksanakan agenda meminggirkan Melayu dan Bumiputera dari kawasan yang boleh menjadi bandar, tempat terletaknya pusat kegiatan ekonomi yang lebih kuat.  

“Apa yang dikatakan tidak dipaksa hanyalah kata-kata indah yang tidak mencerminkan realiti sebenar. Apa yang berlaku sebenarnya adalah meneruskan agenda penjajah dalam bentuk baharu, laksana tikus membaiki labu,” katanya dalam Minda Presiden PAS, semalam.  

Abdul Hadi turut membandingkan situasi ini dengan apa yang berlaku di Singapura, kepulauan Cyprus, dan Fiji, yang menurutnya menyaksikan masyarakat asal dipinggirkan melalui pelbagai dasar dan perubahan struktur bandar.  

Beliau mendakwa peminggiran masyarakat Melayu dan Bumiputera berlaku dalam dua cara, iaitu secara paksaan dan secara halus.  

“Cara keras dilakukan dengan tindakan merobohkan penempatan setinggan yang didiami sejak sekian lama tanpa sebarang penyelesaian hak milik, semata-mata kerana pertimbangan politik.  

“Cara halus pula melalui pengambilan dan pembelian tanah secara terancang atas nama pembaharuan semula bandar, tanpa mengambil kira realiti sosioekonomi masyarakat yang masih terkesan akibat warisan penjajahan,” katanya.  

Menurutnya, URA juga boleh membuka ruang kepada perubahan dalam persempadanan kawasan pilihan raya yang akhirnya melemahkan kuasa politik Melayu-Islam di negara ini.  

Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa masih ada dalam kalangan masyarakat Melayu yang menyokong pelaksanaan dasar tersebut tanpa menyedari implikasi jangka panjangnya.  

“Malangnya, masih ramai kalangan Melayu Islam lulusan madrasah penjajah dahulu yang menyambung tugas penjajah bersama makhluk asing yang dibawa masuk.  

“Mereka merancang dengan halus, laksana memasukkan ubat bius terhadap pesakit yang hendak dibedah,” katanya.  

Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa pembangunan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah adalah antara petanda ketidakseimbangan sosial yang boleh membawa kepada kehancuran masyarakat.  


Catat Ulasan

0 Ulasan