Sistem satu aliran persekolahan paling ideal - Pakar

 



Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berpandangan, sistem pendidikan satu aliran persekolahan adalah yang paling ideal untuk dilaksanakan di negara ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

(1) Sistem pendidikan yang paling ideal adalah satu aliran persekolahan. Itulah yang paling ideal. 

(2) Malaysia, sebuah negara yang sejarahnya terbina atas berbagai peristiwa termasuk penjajahan, akhirnya membentuk sebuah masyarakat majmuk. Itu sejarah negara kita. Kita suka atau tidak suka, itulah sejarah negara kita. 

(3) Sistem pendidikan negara kita juga sama. Terbinanya sebuah sistem pendidikan pelbagai aliran adalah satu sejarah yang dipersetujui bersama oleh pemimpin negara kita satu masa dahulu. 

(4) Ya, mungkin kita boleh kata pemimpin dahulu melakukan kesilapan, kita boleh kata mereka tidak berfikiran panjang atau apa sahaja. Tetapi itulah sejarah negara kita. Kita harus terima sejarah itu.

(5) Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin terdahulu. Tetapi kita kena memahami dahulu sejarah pendidikan, mengapa mereka membuat keputusan sebegitu. Jangan kita 'melatah' mengeluarkan kenyataan atau pandangan peribadi secara semborono tanpa memahami sejarah pendidikan negara sendiri terlebih dahulu.

(6) Sistem pendidikan pelbagai aliran telah wujud di dalam negara ini sejak 200 tahun dahulu. Sebelum kita semua dilahirkan lagi. Undang-undang negara telah pun mengiktiraf kewujudan sekolah pelbagai aliran di negara ini. Di peringkat mahkamah tinggi dan juga mahkamah rayuan, keputusan telah dibuat bahawa sekolah pelbagai aliran dibenarkan wujud di negara ini. Itu keputusan mahkamah. Anda suka atau tidak, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah pun membuat keputusan.

(7) Apakah sekolah pelbagai aliran mengekang perpaduan? Itu perbincangan akademik. Boleh didebatkan. Ada pandangan yang bersetuju sekolah pelbagai aliran menggugat perpaduan. Tetapi ada juga pandangan ahli pendidikan yang tidak bersetuju tentang itu. Di Indonesia sekolah satu aliran telah dilaksanakan sejak tahun 1945, tetapi pada tahun 1998 berlaku juga rusuhan kaum di sana. Di USA juga mereka laksanakan sekolah satu aliran tetapi konflik kaum tetap juga berlaku antara masyarakat kulit putih dan kulit hitam. 

(8) Jadi dengan hanya melaksanakan sekolah satu aliran maka akan wujudnya perpaduan kaum, ia sesuatu yang boleh didebatkan malah boleh sahaja tertolak pandangan tersebut jika kita mengambil contoh daripada beberapa buah negara. 

(9) Saya telahpun menulis sebuah buku akademik berasaskan penyelidikan tentang isu sekolah vernakular di negara ini bagi menjawab apakah benar sekolah vernakular (versi Malaysia) mengancam perpaduan? 

(10) Malah, buku ini telah terpilih untuk diwacanakan oleh Profesor Ulung Dato Dr Shamsul Amri Baharudin di UKM baru -baru ini. Boleh dapatkan buku tersebut untuk lebih memahami isu sekolah vernakular di negara ini. 

(11) Pada saya, sejarah kekal sejarah. Kita tidak boleh ubah apa yang telah berlaku tetapi kita boleh pelajari dari sejarah masa lalu. 

(12) SJKC dan SJKT sudah menjadi sebahagian sistem pendidikan kebangsaan. Seperti juga sekolah aliran agama yang diraikan kewujudannya. Tanda masyarakat negara ini adalah masyarakat majmuk yang meraikan dan menghormati kepelbagaian identiti  etnik. 

(13) Oleh itu, sebagai timbal balik, SJKC dan SJKT mestilah juga menzahirkan jati diri dan identiti kebangsaan. Pendidikan Bahasa Kebangsaan mestilah diperkukuhkan di semua sekolah jenis kebangsaan. Standard Silibus dan penguasaan Bahasa kebangsaan mestilah selaras di semua sekolah kebangsaan termasuk SJKC dan SJKT.  

(14) KPM sebagai agensi pelaksana pendidikan negara telah diberi sepenuh kuasa di bawah Akta Pendidikan 1996 untuk menjayakannya. KPM mestilah bertegas untuk memastikan semua anak-anak di SJKC dan SJKT menguasai Bahasa Kebangsaan sebaiknya. Jika anak-anak di SJKC dan SJKT gagal kuasai Bahasa Kebangsaan, KPM mestilah bertanggungjawab dan mengakui kegagalan mereka. 

(15) Hari ini, SJKC semakin diterima oleh masyarakat Bumiputera. Lebih 20 peratus (lebih 100 ribu) murid di SJKC adalah murid bumiputera. Malah semakin banyak SJKC yang murid Bumiputera lebih ramai daripada murid kaum Cina sendiri. Guru-guru di SJKC juga dari pelbagai kaum. Surau untuk murid Islam juga ada disediakan. Kantin juga menjual makanan halal. Anak-anak Melayu Cina India dan Bumiputera bergaul sesama mereka. Mereka berinteraksi dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. 

(16) Pendidikan pelbagai aliran tidak sepatutnya dipolemikkan lagi. Ahlinya politik harus bergerak ke hadapan. Dua perkara yang mesti dilakukan oleh ahli politik untuk membantu pendidikan negara. 

(17) Pertama, minda dan sikap ahli politik kena berubah. Mereka tidak boleh lagi bergantung pada modal politik perkauman. Masyarakat telah berubah. Generasi muda sudah berubah. Tak kisahlah anda ahli politik dari parti mana pun, sebaik sahaja anda menggunakan isu perkauman, anda akan dilihat sebagai seorang ahli politik yang  sudah 'bankrap modal politik' oleh masyarakat khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar dan pengundi muda. Negara ini memerlukan ahli politik yang serba baharu ideanya untuk membawa masyarakat maju ke hadapan. 

(18) Kedua, daripada sibuk mempertikaikan kewujudan sekolah pelbagai aliran yang telah pun diiktiraf oleh mahkamah dan undang undang negara, mengapa tidak anda sebagai ahli politik yang progresif berjuang habis -habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya? Perjuangkan kualiti sekolah kebangsaan sehingga akhirnya sekolah kebangsaan menjadi rebutan dari ibubapa pelbagai kaum. Bukankah sejarah menunjukkan apabila matrikulasi dan UiTM hebat, ibu bapa dari semua kaum mahu peluang diberikan untuk anak-anak mereka ke sana untuk belajar?  

(19) Pada pengundi yang matang, mereka tahu isu sekolah vernakular ini isu bermusim. Sejak merdeka lagi begitulah sifatnya. Sengaja ditimbulkan bila ada ahli politik yang mahu popular. Kemudian isu ini akan senyap kembali. Sudah lama saya kaji. Tak berubah pun sejak dahulu. 

(20) Nasihatkan saya, jika benar ada ahli politik yang  mahu perjuangkan isu pendidikan, fokuskan usaha anda untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya kemudahan sekolah kebangsaan setaraf sekolah antarabangsa. Usahakan supaya guru-guru dilatih sehingga bertaraf global. Usahakan beban tugas guru dikurangkan. Usahakan supaya kurikulum kebangsaan dicontohi oleh negara lain. Itu baru ahli politik yang hebat. 

(21) Cuba tanya diri anda sendiri, sudah lebih 70 tahun, sejak tahun 1950 isu sekolah vernakular 'dijaja' oleh ahli politik, adakah pendidikan anak-anak kita semakin baik? Apakah anak-anak kita sedang belajar dengan selesa di dalam kelas? 

(22) Adakah prestasi pendidikan anak-anak kita sekarang sehebat anak-anak Singapura, Vietnam atau Korea Selatan? Yang dahulu pada tahun 1960, mereka semua jauh ketinggalan di belakang negara kita.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan