Ka Siong minta Ketua Angkatan Muda Harapan tarik balik kenyataan fitnah

 


Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan menarik balik kenyataan berunsur fitnah yang dibuat terhadapnya berhubung isu pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  

Menurut beliau, kenyataan Ammar yang mendakwa beliau cuba mencetuskan kebimbangan mengenai dividen KWSP adalah tidak tepat dan berniat mengelirukan rakyat.  

“Saya ingin membetulkan kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan oleh Ammar Atan. 

"Kadar dividen KWSP yang lebih tinggi bagi tahun 2024 tidak bermakna bahawa sebarang kerugian akibat tindakan ‘jual murah, beli balik mahal’ saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak berlaku.  

“Malah, dividen KWSP bagi tahun 2024 yang dikatakan tinggi berkemungkinan lebih tinggi sekiranya kejadian tersebut tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.  

Terdahulu, media melaporkan Ammar menuduh Ka Siong cuba menimbulkan kegusaran di kalangan pencarum KWSP dengan memainkan isu dividen, sedangkan realitinya KWSP mencatatkan prestasi yang kukuh.  

Ka Siong menegaskan, beliau tidak pernah menyatakan bahawa KWSP berada dalam keadaan kritikal atau bakal memberikan dividen yang lebih rendah bagi tahun lalu.  

“Isu yang saya bangkitkan adalah berdasarkan rekod awam dan bertujuan membuka perbincangan konstruktif mengenai pengurusan pelaburan KWSP, bukannya memfitnah sesiapa.  

“Oleh itu, saya menuntut agar kenyataan Ammar Atan yang tidak tepat ini ditarik balik segera,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan