Tuduhan PMX tidak berasas, tidak bertanggungjawab - Pemuda PAS Selangor

 


Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa PAS “kalau runding, terus masuk poket”, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.  

Menurut beliau, seorang Perdana Menteri sepatutnya mengemukakan dasar membina, bukannya menyerang lawan politik dengan tuduhan liar.  

“Kenyataan itu tidak berasas dan hanya bertujuan mengaburi kegagalan pentadbiran sendiri. Hakikatnya, PAS telah memerintah Kelantan lebih tiga dekad dengan rekod integriti yang cemerlang, bebas daripada skandal rasuah besar.  

“Jika benar dakwaan Perdana Menteri, sila kemukakan bukti yang sah, bukan sekadar beretorik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Mohamed Sukri berkata, lebih mengecewakan apabila kenyataan tersebut datang daripada seorang Perdana Menteri yang sering menyeru politik perpaduan dan madani, tetapi tindakannya penuh dengan sindiran, tuduhan dan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.  

Katanya, jika kerajaan benar-benar mahu membela rakyat, tumpuan seharusnya diberikan kepada isu utama seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, kejatuhan nilai ringgit dan ketidakyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.  

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan, PAS bukan sahaja berintegriti dalam pentadbiran, malah berjaya menjaga perpaduan kaum berdasarkan prinsip keadilan sejati.  

“Tidak pernah ada rekod ketegangan kaum akibat dasar kerajaan PAS. Ini jauh berbeza dengan retorik politik perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu bagi menutup kelemahan sendiri,” katanya.  

Menurutnya, Pemuda PAS Selangor tetap teguh dalam perjuangan menegakkan kepimpinan yang bersih, amanah dan berkebajikan.  

“Tuduhan liar seperti ini tidak akan menggugat perjuangan kami, sebaliknya hanya membuktikan kegelisahan pihak lawan yang semakin hilang kepercayaan rakyat akibat kegagalan mereka sendiri.  

“Pemimpin yang benar-benar mahu membela rakyat tidak akan sibuk menyerang lawan, tetapi akan bekerja keras mencari penyelesaian untuk kesejahteraan negara,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan