Shahelmey khianati perjuangan dan mandat UMNO - Bung Moktar

 


Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa keahlian Datuk Shahelmey Yahya dalam UMNO digantung kerana tindakannya mengkhianati perjuangan dan mandat parti.  

Menurut beliau, UMNO sebagai sebuah parti berprinsip tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli atau pemimpin yang tidak setia kepada perjuangan parti.  

“Penggantungan keahlian Datuk Shahelmey bukan disebabkan oleh sokongannya kepada Datuk Hajiji Noor, tetapi kerana tindakannya yang mengkhianati perjuangan dan mandat parti.  

“Setiap ahli UMNO harus sedar bahawa keahlian dalam parti ini datang dengan tanggungjawab dan disiplin. Kesetiaan kepada perjuangan UMNO bermakna mematuhi dasar serta keputusan parti,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Bung Moktar turut menegaskan bahawa pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan oleh parti adalah satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan.  

Sehubungan itu, beliau berpandangan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO perlu bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.  

“Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding dalam pilihan raya, maka UMNO harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia,” ujarnya.  

Bung Moktar menegaskan, pendirian UMNO Sabah jelas, iaitu tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah mengkhianati parti untuk bertanding di bawah panji UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.  

“Kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah asas utama dalam UMNO, dan mereka yang gagal mematuhinya tidak mempunyai tempat dalam parti pada pilihan raya nanti,” katanya.

BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan