![]() |
Gambar hiasan: Tima Miroshnichenko / Pexels |
Bekas Timbalan Ketua PKR Cabang Setiawangsa, Najib Bakar mendakwa terdapat kemungkinan sistem pemilihan parti itu yang dijalankan secara dalam talian telah dimanipulasi atau digodam.
Beliau membuat andaian itu berdasarkan latar belakang pendidikan dan pengalaman kerjanya dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Najib berkata, kerisauan utamanya adalah disebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah seorang pemimpin yang lantang mempertahankan Palestin maka beliau boleh menjadi sasaran kumpulan tertentu untuk memporak-perandakan partinya.
"Apa isu yang banyak terjadi sekarang seperti yang dilapor media? 'Fenomena badan tanpa kepala'.
"Banyak keputusan cabang yang keluar tidak konsisten nombornya," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
![]() |
Najib Bakar |
Keputusan pemilihan PKR peringkat cabang baru-baru ini menyaksikan beberapa nama besar tumbang termasuk yang menganggotai Kabinet seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli Abd Halim dan Akmal Nasir.
Najib menjelaskan, untuk memahami situasi pemilihan PKR, setiap calon ketua cabang akan menghebahkan senarai calon-calon dalam pasukannya, seperti calon timbalan ketua cabang, naib ketua cabang, dan ahli jawatankuasa dalam tempoh berkempen.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, apa yang terjadi, banyak keputusan di cabang yang calon ketuanya kalah, tetapi calon pasukan di bawahnya menang dengan jumlah undi yang lebih kurang.
"Dan jumlah undi yang lebih kurang itu tiba-tiba ada di calon ketua cabang di pasukan satu lagi. Seolah-olah cuma di-swap sahaja keputusannya.
"Kalau cuma satu dua cabang, ya mungkin kita boleh anggap pegundi-pengundi memboikot calon ketua cabang tertentu. Tapi kalau lebih berpuluh-puluh cabang? Tidakkah ia satu pattern yang pelik?" soalnya.
Najib menambah, bila terjadi perkara sebegitu, cabang-cabang tersebut sukar untuk bekerja sebagai satu pasukan, dan kemungkinan ada pertembungan idea yang boleh mengakibatkan ketegangan.
Beliau menjelaskan, apabila cabang-cabang dalam keadaan tegang, pergaduhan dalaman boleh menyebabkan parti tidak stabil, dan natijahnya, parti masuk bertanding dalam pilihan raya umum sebagai pasukan yang lemah kerana konflik dalaman.
"Kita tak boleh tolak tepi kemungkinan ada sabotaj luaran yang matlamatnya menyekat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua," jelasnya.
Najib berkata, mereka yang luar bidang IT tidak menyedari bahawa adalah sangat mudah untuk mengubah sesuatu data secara terus di belakang iaitu di pengkalan data.
"Walaupun di depan, ada 20 OTP, facial recognition, thumb print yang perlu dimasukkan sekalipun.
Bagi mengelakkan risiko digodam, beliau mencadangkan, sesebuah sistem itu perlu dibangunkan dengan ada semak dan imbang yang baik, ada mitigasi risiko, dan tiada seorang pun yang memegang kunci utama.
"Untuk sistem e-pengundian yang boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara, tanpa struktur tadbir urus yang mantap, ia senang dimanipulasi.
"Siapa rantaian paling lemah dalam pembangunan sesebuah sistem yang penting? Manusia.
"Sama ada diumpan dengan imbuhan atau ditekan dengan ugutan, pengakhirannya hanya satu," katanya.
1 Ulasan
laaaaa... ingatkan najib razak
BalasPadam