Pemuda UMNO tetap meneruskan usaha mendapatkan keadilan untuk seorang penjual belon yang didakwa dikasari penguat kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun dia dikatakan mempunyai 13 rekod jenayah lampau.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, pihak konsisten memperjuangkan keadilan untuk mana-mana individu yang dizalimi termasuk abang belon.
Beliau menyatakan, dalam kes itu, abang belon dianggap sebagai mangsa ketidakadilan dan telah dizalimi.
"Pemuda UMNO membela abang belon bukan sebab 13 rekod jenayah lampaunya, tetapi kerana dia telah dizalimi ketika dia menjalankan perniagaannya, dia diperlakukan dengan cara yang kasar dan tidak bermaruah.
"Kalau ikutkan pentaksub ini orang yang ada rekod jenayah lampau, boleh dizalimi sampai bila-bila.
"Saya juga ingin menegaskan biarpun seseorang memiliki 100 rekod jenayah lampau tetapi itu bukan memberi lesen untuk kita menzalimi dan mencederakan abang belon," katanya dalam melalui rakaman video dalam media sosial semalam.
Baru-baru ini, memetik laporan media, sumber mendedahkan bahawa semakan mendapati, penjual belon tersebut dikatakan mempunyai 13 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dengan kesalahan dadah.
Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekecohan dalam serbuan oleh DBKL terhadap peniaga tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
0 Ulasan